"Benda yang kita suka, kita sayang, sampai masa akan diambil kembali. Jadi, jangan meletakkan sayang itu melebihi sayang dan cintakan Allah. Barulah kita redha dan sabar atas kehilangannya " ~ petikan ASST
"dia hilang, dia kembali, dia hilang, dia kembali..." ~ Intan
"siapa dia?" ~ Damien
"Awak" ~ Intan
Bukan mudah melupakan, apatah lagi melepaskan. Bibir mudah berkata-kata. Redha dan sabar perit sekali. Tapi mengadulah pada Allah. Segala yang kita nikmati hanyalah pinjaman darinya. Jadi jangan bersedih. Tak mungkin Allah ambil sesuatu dari kita tanpa sebab. Jangan rasa terhukum, apatah lagi dihukum.
Apa yang berlaku pada Intan buat saya berfikir. Nikmat cinta dari seorang Hilman diambil balik. Duka, lara, kecewa, merana dan terseksa. Azabnya menanggung rindu, peritnya memendam rasa. Mendidik hati seorang Intan menjadi lebih tabah dan bersedia untuk menerima seorang Hilman dengan penuh rasa syukur dan redha dengan ketentuan Allah.
Pernah lebih 10 tahun dulu seorang sahabat mengadu duka laranya dikecewakan cinta. Saya yang tidak pernah merasa asyiknya bercinta, begitu mudah berkata lupakan. Seringkali melihat dia lemah, menangis, meratap hiba, hidup sentiasa dibayangi bekas kekasih sehingga membuatkan saya benci perempuan lemah. Dalam hati terdetik "eeiiii kenapalah...!" . Kenapalah perempuan lemah sangat bila kecewa putus cinta, malu! Buang masa je menangis bagai. Uishhh takbur!
Allah Maha Besar dan Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Dengan kuasa Allah saya yang takbur tiba-tiba diuji. Tidak lama selepas statement takbur itu. Begitu cepat saya menerima balasan dari kata-kata takbur itu. Saya diberiNya peluang merasa perit dan sakitnya bila hati dilukai. Alhamdulillah, cepat juga Dia menyedarkan semua itu ujian atas kata-kata takbur saya. Alhamdulillah, saya tidak kesal, malah bersyukur. Tetapi yang menyedihkan, sahabat saya itu sehingga kini masih dihantui bayangan silam.
Sedikit perkongsian bagi yang memerlukan ketenangan hati
Petikan di awal entry diambil daripada novel Awak Suka Saya Tak? karya novelis baru Melur Jelita. Sudah berada di pasaran sejak 15 Oktober 2011. Sudah lama saya baca tapi baru sekarang saya mahu berkongsi di blog ini. Tidak sedikit pengajaran yang kita perolehi daripada naskhah novel ini. Bukan cerita cinta jiwang semata-mata, tetapi saya amat terkesan dengan pendekatan Islamik yang terkandung di dalamnya.
Siapa Hilman Yong? Siapa Intan? dan siapa pula Damien? yang saya petik dialog-dialog mereka? Beli dan baca sendiri ye.
DENGAN KASIH SAYANG ALLAH, TIADA YANG MUSTAHIL