Wednesday, 27 October 2010

Meroyan

Walaupun hujung minggu saya minggu lepas sudahpun berakhir tetapi masih ada sesuatu yang membuatkan saya tak puas hati. Sungguhpun saya sudah berjaya melampiaskan nafsu nak membaking kek lapis tapi masih ada seperkara dua lagi hajat saya yang tak tertunai sepenuhnya. Apa-apa sajalah saya dan hajat (read: kehendak, nafsu nafsi).

Sebenarnya, selain daripada hajat membaking kek lapis (yang sudah tertunai) saya berhajat, uisyyy macam besar benar bila sebut 'hajat' tu baiklah tukar kepada 'ingin' atau 'rancang' saja. Ye, saya teringin nak beli display rack untuk diletakkan di ruang tamu sebab dah lama sangat saya layan pedih mata tengok ruang tamu yang agak togel melainkan diserikan kehadiran set sofa lama kami itu. Gara-gara mata melilau belek dekorasi rumah orang masa beraya tempohari cantik berhias display rack, langsung hati saya tercuit nak juga satu kalau tak dapat dua. Hubby tempelak saya, kata dia banyak ke duit. Hehehe... err bila satu-satu benda dah menguasai minda (read: nafsu) memang susah saya nak lupakan sampaikan duit bukan lagi halangan! Owh saya tidaklah seteruk itu, duit memang ada tapi tak cukup kalau nak beli rack yang mahal beribu-riban. Kalau setakat rack tahap pipit tu, insyaAllah ada fulus secukupnya. Saya pun ukur baju di badan sendiri, tidaklah saya berangan nak beli yang mahal kalau dah fulusnya kecil.

Sayangnya, Sabtu lepas iaitu hari yang saya rancang untuk keluar hunting for display rack telah diambil alih oleh hubby dengan rancangannya pergi kenduri di serting, N9. Maka saya berasa sedikit kecewa sebab rancangan asal tidak menjadi. Sepanjang masa dalam kereta gelisah sungguh lah hati saya sebab terasa benar keinginan saya kali ini tidak kesampaian. Bila kami sampai semula ke shah alam pun hari dah lewat petang, bertambah-tambah lah kehampaan saya. Teruk sungguh lah nafsu saya kali ini. Mengalahkan ibu-ibu mengandung! Eh bukan, dah macam meroyan pun iye. Jadi untuk mengubat sedikit hati yang kecewa, supaya tidur malam saya tidak mengigau-igau saya ajak hubby pergi 'plant hunting' pulak. Umpama bayi yang sedang meraung kelaparan, kalau tak sempat diberikan susu, sumbat puting @ pacifier je dulu pun boleh.

Jadi pacifier saya adalah plant hunting yang memang pun termasuk dalam list 'keinginan' dan 'rancangan' saya minggu lepas. Ni pun kes tak larat layan pedih mata tengok laman dalam rumah lapang melainkan basikal-basikal budak-budak dan bapak budak yang duk beratur tepi dinding.

Saya berkenan tengok pokok heliconia dengan bunganya yang berjurai ke bawah kat rumah jiran belakang rumah. Pokoknya ditanam dalam pasu tempayan besar gedabak, jadi nampak tinggi dan penuh laman rumahnya. Saya berjaya dapat dua beg pokok heliconia, tapi bab pasu tu terpaksa lah saya ambil pasu kecil saja sebab tak muat nak angkut dalam bonet kereta.

Tarraaaa... pokok heliconia (pacifier saya) dalam pasu comel.



anak keladi yang beranak pinak dari ibu pokok

Ada orang janji nak belikan saya pasu besar hari Isnin lepas. Tapi sekarang sudah nak masuk hari Khamis, bayang pasu pun belum nampak. Dia sibuk minggu ini, balik kerja lewat melepasi waktu operasi nursery. Jadi saya kena sumbat pacifier buat sementara waktu. Huwaaaa... tapi saya tau memang lambat lagi saya akan dapat pasu besar tempayan itu sebab hujung minggu ini dia nak ke Melaka lah pula!

No comments:

Post a Comment