SELINGAN...
Hari ni takde kuliah. Dah masuk final semester kan, jadual kuliah pun free n easy. Malas nak berulang balik rumah, memang lah Bangi dan Seremban dekat, tapi nak pergi ke stesen komuter UKM tu dari kamsis aku ni kena naik bas. Malas! Tengah-tengah minggu pulak tu, esok ada kelas kena datang balik. Buat penat je. Lepak je kat Bangi ni, walaupun takde benda menarik untuk dibuat.
Pagi-pagi lagi dah berjanji dengan Mek Ti nak pergi 'membeli belah tingkap' kat pasaraya Warta Bandar Baru Bangi. Rasa tak kuasa sangat nak menjelajah Mines, dah selalu sangat ke sana. Asal nak jumpa Mek Ti yang study kat UPM je mesti aku naik komuter ke Mines. Jelak. Tukar angin pulak, biar Mek Ti datang kepadaku, menabur zakat di Warta. Kesian Warta hidup segan mati tak mahu. Tapi dalam hidup segan tu ada juga sebiji restoran Shakey's. Cukup gah dah tu. Tapi takdelah aku dengan Mek Ti nak makan kat situ, sen pun tak berapa nak ada. Baki pinjaman JPA cukup-cukup untuk aku survive sampai habis semester yang tinggal 2 bulan je lagi. Duit poket minggu ini separuh darinya dah aku pajakkan kat kedai Rent-A-Book di Pusanika. Ada 2 biji novel yang aku sewa. Habis baca nanti baru aku tuntut balik pajakan ku itu. Kalau rasa takut duit di tangan cepat mengalir macam air aku lambat-lambatkan pulang buku. Jadi lama sikit duit pajakanku di situ. Selamat! He he. Duit makan? Apalah sangat makanan aku, pekena vadey cafe pusanika 2 ketul dengan susu coklat Dutch Lady sekotak layannn. Kenyang sampai malam. Padanlah cikeding badan aku kan? He he.
Ronda-ronda Warta yang cuma sekangkang kera, layan Mek Ti membelek tudung bawal. Aku? Tak, aku tak pakai helmet bak kata Pak Deris, fasilitator BTN yang pernah aku sertai dulu. Mula-mula ditegur sinis "Helmet ekau mano?" aku dan kawan-kawan saling berbalas pandang. Tak tau nak ketawa atau menangis. Ketawa sebab rasa lawak, ada ke tanya kami yang perempuan ni pasal helmet. Menangis, sebab kalaulah ada sesi 'orientasi terlampau' kena dera 24jam pakai helmet yang berat tu tak ke nampak buruk. Lepas itu barulah kami faham, helmet = tudung. Dah 4 tahun berlalu, Mek Ti dah insaf bertudung ke mana saja. Aku masih juga macam ni, bertudung cuma masa sekolah je, habis Form 6 aku free hair. Hmmm... bila nak insaf? Nak tunggu berlaki kan ustaz? Ustaz-ustaz muda FPI lalu sebelah lagi tertarik pandang lantai, segan nak pandang aku.
Selesai sesi 'membeli belah tingkap' berbekalkan secawan jagung manis dan air kami duduk menunggu bas depan Warta. Sunyi, takde orang... sedaplah kami bantai berborak tak payah kontrol volume pitching bagai. Mek Ti gatal mulut bertanya aku tak celebrate valentine's day ke? Cisss Mek Ti, gedik juga kau ye... mentang-mentang lah aku baru je berjinak-jinak dengan dunia berpacaran. Ini pun berkat masin mulut Mek Ti, entah-entah dia yang siang malam mendoakan aku. Dah masuk semester akhir tiba-tiba je terjebak berpacaran... sukalah Mek Ti, aku kalah dan mengalah.
Ralit bercerita tiba-tiba handphone kuberbunyi. Terkejut. Tak kujangka dia nak call waktu begini. Kan dia sepatutnya masih sibuk kerja out station nya. Owh dia bagitau kerja dia dah siap, nak bertolak balik dah dari JB. Dalam pukul 2 petang nanti sampai KL.. Ermm apa motif bagitau? Dan-dan tulah dia ajak jumpa. Terus aku cakap NO! Bulat biji mata Mek Ti. Hilang akal ke apa aku ni kan pakwe ajak dating, on valentine's day lagi aku tak nak. Si dia ketawa. Jahat! Saja je nak menguji aku tu, sama-sama dah janji takkan sambut valentine's. Bukan dia tak tahu aku anti bab sambut valentine's ni. Dosa ok.
Sampai kamsis. Baru je masuk bilik handphone berbunyi lagi. Si dia lagi. Hatiku dah berdebar, sampai 2 kali call aku hari ini mesti ada apa-apa.
"Jom keluar makan?"
"Haa? Makan apa nye?"
"Saya kat Nilai ni kejap lagi sampai Bangi. Kita pergi KFC" Adehhh, bila dia umpan dengan KFC serta merta lutut aku longgar. Kalau hari biasa jagung manis cukup mengenyangkan, tapi bila diumpan KFC tiba-tiba aku lapar! Goyang iman aku.
"Mmm... tak nak lah. Malu... takkanlah... si Dol ada saya seganlah" Aku bukan gedik nak berdua-duaan, tapi sesungguhnya aku pemalu.
Sungguh aku pemalu. Masa mula-mula kenal si dia pun aku malu-malu nak makan. Inikan pulak nak suruh aku makan bertemankan si Dol. Maunya aku kutil-kutil je kulit ayam tu nanti. Tapi kesian Dol, takkan nak hantar dia balik kelaparan. Pergi outstation sama-sama, pergi makan sendiri-sendiri. He he.
"Alah, apa nak segan dengan Dol, orang kampung awak juga"
Aku diam. Bila fikir-fikir balik aku rasa tak sedap.
"Tak mau"
"Jom lah... rindu"
Aku senyum. Cesss cepat benar cair.
"Tak mau. Tak baik tau celebrate valentine's" Aku ingatkan dia.
"Eh kita bukan nak celebrate, saya ajak makan je"
"Tak nak jugak. Makan hari lain. Tak mau jumpa dan makan hari ni"
"Jom lah... Kita tak celebrate"
"Tak nak. Padan muka sapa suruh ceramah kat saya hari tu. Saya dah hadam cakap awak ni... hi hi hi"
Hahaha. Dia juga yang bagi ceramah kat aku pasal dosa sambut valentine's. Aku ni kan lurus bendul. Sampaikan keluar makan aja pun aku dah rasa tak sedap hati. Makan lah kau berdua dengan Dol. Layan romantik dengan Dol! Kikikiki.
Sila rujuk sini keputusan muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day
Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Keterangan/Hujah:
Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.
Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:
من تشبه بقوم فهو منهم
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”
( Riwayat Abu Daud)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.
No comments:
Post a Comment