Thursday, 15 January 2015

Sambal Sardin Gamit Nostalgia : Tribute Untuk Abah


Hari ini berlaukkan menu ringkas sahaja. Kadang tukang masak pun kehabisan idea. Buka saja pantry. Nah, tin sardin saiz besar sedia menanti. Apa lagi, kita sambal kan saja dia. Nak buat masakan lain dengan sardin ni minta maaf lah, saya memang tak reti. Ada orang buat kari iya tak?


Bukan nak share resipi sambal sardin ni pun. Buat malu seh sebab semua orang pun tau nak masak macam mana. Saya masak style saya. Iaitu kombinasi gaya Ma saya dan citarasa saya sendiri. Versi Ma pedas, tambah banyak cili boh. Versi saya kurang cili boh sebab anak-anak tak berapa boleh terima lagi. Tapi harus tambah beberapa tangkai cili api untuk memuaskan selera Mr Hubby.


Yang utama setiap kali masak sambal sardin ni semestinyalah akan menggamit memori lama zaman kanak-kanak. Pertama, sebab ini antara menu yang kerap terhidang. Almaklum beratus kali dah cakap agaknya, kami bukan orang 'ada-ada'. Time sesak sardin jelah jawabnya. Tapi cukup buat kami berebut.





Kedua, dan paling nostalgik kerana ia mengingatkan saya kepada Abah. Semuanya semata-mata kerana Abah pernah selama 1 bulan ambil alih kerja memasak, mencuci dan menguruskan sekolah kami adik-beradik ketika Ma jatuh sakit teruk tak boleh bangun langsung. Entah apa sakitnya wallahu'alam. Selama 1 bulan itulah kami 4 beradik dihidangkan dengan sambal sardin air tangan Abah. Hebatnya Abah mampu replicate rasa sambal yang sama hingga kami tak terasa perbezaannya dengan sambal sardin Ma. Istimewanya sambal sardin kami ialah mesti diletakkan dengan ubi kentang goreng hiris bulat. Cukup 1 lauk itu aja pun kami dah berselera sangat. Dan Allah sangat permudahkan buat kami tempuhi 1 bulan yang kritikal itu tanpa kami merasa kurang sedikit pun baik dari segi pakaian mahupun makan minum.


Abah bukannya pandai sangat memasak. Tapi saya fikir tugasnya sebagai anggota Polis Hutan (PPH) yang selalu masuk hutan dengan setiap operasi  berbulan lamanya selama hampir 10 tahun sebelum diserap menjadi polis biasa sedikit sebanyak menjadikan Abah seorang lelaki yang tidak segan masuk dapur. Di hutan masak atau panaskan makanan dalam tin sendiri. Masa saya kecil ada masa-masanya Abah goreng nasi style Abah. Ikut sukalah bubuh apa pun. Tapi sedap yang amat walaupun cili boh Abah tumis tak pecah minyak hehe... Hingga kini pun sesekali Abah terasa nak makan ikut selera dia, Abah masuk dapur menggoreng sendiri. Satu karekter yang sukar ditemui dikalangan lelaki.


Saya sangat-sangat terasa Allah kurniakan kami seorang Abah yang hebat. Kerjaya sebagai anggota polis biasa bekerja ikut shift tapi makanan buat kami sentiasa tersedia setiap kali balik sekolah. Baju sekolah 4 beradik pun terjaga. Baru-baru ini barulah saya tahu daripada cerita Ma, yang baju sekolah kami sebenarnya semua digosok oleh Abah. Baik semasa Ma terlantar sakit mahupun sebelumnya. Lumrah tugas sebagai anggota beruniform. Kata Ma, pakaian Abah semua mesti kemas bergosok bukan setakat uniform kerja, seluar slack dan t-shirt berkolar pakaian luar waktu kerja mesti bergosok juga. Iya, Abah saya tak pernah pakai t-shirt round neck. Tak pernah. Sampai sekarang ni pun mesti t-shirt berkolar Crocodile atau John Master tu kegemarannya.  Tapi Ma sentiasa sibuk tempahan jahitannya. Abah jenis tak merungut. Abah gosok sendiri. Dan kalau ada uniform sekolah kami belum bergosok, Abah akan gosok semua. Dan MasyaAllah kemas hasil kerjanya!!



Sambal sardin ini kadang kalau saya tak selera nak makan nasi saya lenyekkan ikannya dan sapu atas roti jadikan sandwich. Dan kalau tak habis boleh campak dalam nasi goreng. Versatile sangat.



Sebab itulah setiap kali saya masak lauk sambal sardin ini saya akan segera teringatkan Abah. Teringatkan detik 1 bulan kritikal di mana Abah tak pernah culas menguruskan kami 4 beradik di samping menjaga Ma terlantar sakit. Setiap kali teringatkan peristiwa itu, setiap kali itu juga tekak saya terasa masin. Masin dengan air mata tak tertumpah. Memang nostalgia sangat. Dan saya juga kerap ulang cerita tentang Sambal Sardin Abah pada anak-anak saya. Saya mahu mereka tahu, mereka punya seorang Atuk yang nampak biasa-biasa tapi ada cerita luar biasa. 

Saya sayang Abah saya. Uhukkk... mata masuk habuk.

No comments:

Post a Comment