Monday, 15 December 2014

Cuti-Cuti Pantai Timur ~ Kota Bharu Part 1


Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang selepas 22 tahun. Kali pertama masa saya berusia 14 tahun, bersama-sama rombongan keluarga besar saya dari Terengganu berkunjung ke rumah Ayahda saya di Bachok dan kemudian di bawa berjalan ke KB dalam tempoh lawatan 1 hari cuma. Apalah yang saya ingat sangat pun untuk tempoh sesingkat itu?


Kunjungan kali ini bersama mr hubby dan anak-anak. Plan asal cuma nak bercuti di Terengganu saja. Anak-anak memang cukup suka dapat makan minum ikut selera mereka serta main tepi pantai. Tapi mr hubby rasa bosan pula. Jadi saya ajak singkatkan stay di Terengganu dan lajak ke KB untuk lihat pemandangan yang berbeza. Akhirnya kami decide untuk tuju ke KB dulu, kemudian baru turun ke Terengganu. Boleh aja. Jadinya perjalanan kami kali ini akan menempuh satu laluan yang asing bagi kami. Jalan Lipis-Gua Musang untuk ke KB. Kami mulakan perjalanan dengan solat musafir 2 rakaat, moga sentiasa dilindungi Allah swt dan mengharap ada keberkatan dari kembara kami kali ini. InsyaAllah.


Alhamdulillah perjalanan lancar. Kawan-kawan mr hubby titipkan pesanan bawa bekal makanan secukupnya kerana di laluan yang kami pilih tiada perhentian melainkan bila tiba di Gua Musang cuma. Jadi kami isi perut di Petronas Genting Sempah dan beli makanan secukupnya untuk snacking time. Jalan tak berapa cantik. Benarlah apa yang dikata, pembangunan laluan masuk ke Kelantan sangat dipinggirkan. Ketibaan kami di jajahan Gua Musang disambut dengan pemandangan sebuah bukit yang ditarah teruk. Sangat mengejutkan saya kerana bukit tersebut bukan dikawasan tersorok malah di kawasan penempatan. Seolah-olah sebiji kek yang dipotong separuh! Tak sempat pula saya ambil gambar. Rakus sungguh manusia!


Dah sampai Gua Musang kami rasa lega. Ingatkan dah makin dekat, rupanya it takes another 2 hours before we reach KB. Aduhaiii penatnya kembara kali ini. Lagi penat mr driver. Dah masuk KB khidmat waze dihidupkan semula. Mencari laluan ke hotel. Tak susah mencari Hotel Ridel yang menghadap Sungai Kelantan. Bangunan hotel bercantum dengan Pelangi Mall dan bersebelahan dengan Tambatan DiRaja serta Bangunan Kastam DiRaja Malaysia. Harga bilik agak murah untuk sebuah bilik deluxe katil kelamin RM129.00 bersih dengan complimentary breakfast untuk 2 orang. Cuma bilik sangat sempit untuk kami 4 beranak. Bagusnya bilik kami menghadap Sungai Kelantan. Tak lah cantik mana. Keruh sungguh airnya. Tapi waktu malam boleh lihat aktiviti santai penduduk tempatan smabil menghirup udara malam.


Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Kami sudah solat jamak di Gua Musang tadi, maka tiba masa meronda kawasan berdekatan sambil mencari makan malam. Mr Hubby dan Fahmi teringin makan nasi kerabu Kelantan authentic. Kami diberitahu boleh jumpa nasi kerabu di pasar malam. Berbekalkan map bandar KB kami berjalan kaki melusuri Muzium Istiadat - Pasar Buluh Kubu - Pasar Siti Khadijah hingga ke pasaraya Mydin. Tak juga ketemu. Silap jalan rasanya. Tanya penjaja jalanan baru ketemu. Oh... pasar malam nya kecil amat. Tak ramai peniaga. Dan terletak di kawasan tanah lapang yang sangat kotor persekitarannya. Tapi dek kerana nak melepaskan hajat merasa nasi kerabu kami pejam mata. Cik Yaya dan saya pula cukup beralas perut dengan sate ikan.


Selesai isi perut kami berjalan pulang ke hotel mengambil laluan yang sama, Pasar Siti Khadijah - Pasar Buluh Kubu - Muzium Istiadat. Jam Hampir pukul 7.00petang. Saat menghampiri Muzium Istiadat, satu rombongan beberapa biji kenderaan diiringi motorsikal polis melintasi kami laju. serentak itu azan maghrib berkumandang. Kami kemudiannya sedar kenderaan yang melintasi kami tadi membawa Yang Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menuju ke Masjid Muhammadiah bersebelahan dengan muzium. Langsung saya ajak mr hubby dan anak-anak singgah solat maghrib di masjid aja mengenangkan bilik kami yang sempit dan perlu bergilir untuk bersolat. Alhamdulillah, kami berpeluang berjemaah bersama Sultan dan Sahibus samahah Dato' Mufti Kelantan. Rupanya malam itu ada sambutan ulangtahun penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan yang diikuti dengan solat hajat dan bacaan Yasin. Alhamdulillah.




No comments:

Post a Comment