Tuesday, 16 December 2014

Cuti-Cuti Pantai Timur ~ Kota Bharu Part 2 ~ Roti Titab


Hampir kesemua hidangan di Kelantan boleh ditemui di kampung halaman saya Terengganu. Tidak banyak beza nya dari hidangan pelbagai jenis nasi hingga ke kuih muih. Tapi ada sesuatu yang tak boleh dijumpai di tempat-tempat biasa.




Roti Titab @ Kopitiam Kita


Rupanya Mr Hubby tau satu tempat yang ada kelainan hidangan sarapan pagi. Pagi hari ke 2 kami di KB, dengan bantuan waze kami temui Kopitiam Kita. Masa kami check in di Hotel Ridel pun bila ditanya kepada reception, kami disarankan pergi makan di kopitiam-kopitiam saja. Masa tu saya terangkat kening. Apa??? Datang jauh-jauh ni di suruh pergi kopitiam je? Kat KL dan Selangor pun berlambak dan bukanlah satu fenomena lagi. Tambahan lepak-lepak di kopitiam bukanlah menjadi minat saya kerana status halal hidangan di kopitiam di sebelah pantai barat dan selatan sangat meragukan. Tapi melihatkan betapa banyaknya bilangan kopitiam di KB saya rasa kegilaan makan/minum di kopitiam adalah suatu fenomena yang agak baru di sini.


Menghormati ajakan mr hubby di kopitiam Kita kami bersarapan. Kopitiam ini berbeza dari kopitiam-kopitiam di KL/Selangor. Konsepnya macam warung biasa saja tetapi sangat luar biasa luasnya dan padat pelanggan sepanjang pagi hingga jam menginjak ke pukul 11 lebih juga masih tak berhenti kunjungan. Selain dari meja dan bangku yang bercirikan etnik cina, hidangan yang ditawarkan di sini tersangatlah Melayu nya. Konsepnya menarik. Kopitiam hanya menyediakan minuman dan Roti Titab atau lain-lain roti bakar sementara hidangan sarapan pagi yang popular di Kelantan seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi tumpang, nasi lemak, makaroni bakar dan kuih muih semuanya di datangkan daripada peniaga-peniaga sekitar KB dan juga Tumpat. 





Fahmi makan 2 keping Roti Titab. Iaitu roti bakar dengan telur separuh masak berserta kaya di atasnya. Saya tak tau apa rasanya makan roti sebegitu tapi Fahmi kata sedap. Saya sebenarnya sangat tertarik dengan tekstur telur separuh masak yang sekata masak separuhnya. Bukan mudah nak dapatkan hasil sebegini. Bukan sesuatu yang boleh anda hasilkan di dapur sendiri melainkan setelah anda asah skil. ini kerana kuning telur mudah untuk menjadi keras terlebih dahulu berbanding bahagian putih telur. Anda boleh cuba di rumah tapi hasilnya tak sama dengan ini. Kerana di sini mereka rebus telur menggunakan mesin khas seperti yang boleh didapati di dapur-dapur hotel.

Pun begitu, saya sangat terpesona dengan ketangkasan seorang gadis bertudung menyiapkan roti titab ini. Dia cukup cekap bekerja, sambil bercakap pun tetap tekun dan kerjanya tak pernah culas. Saya yakin dia pasti seorang pekerja yang sangat disayangi tokey. Dek kerana terpesonanya saya melihat dia  bekerja saya terkantoi bila dia tersedar saya asyik memerhatikannya. Dia hanya melemparkan senyuman. Agaknya saya seorang saja yang jakun di situ.


Saya pernah melihat telur separuh masak sekata sebegini dalam rancangan Masterchef Australia dan My Kitchen Rules (Australia). Mereka masak guna cara konvensional di dapur. Ianya dipanggil teknik 60degrees atau 62degrees egg. Bukan mudah caranya. Boleh google mata anda akan terbuntang luas! Saya sudah cuba. Tapi bukan hasil terbaik kerana kena banyak eksperimen. Nanti saya share di entry akan datang.



Nasi Dagang KYO dari Tumpat


Saya sendiri selesa menjamah nasi dagang Kelantan dengan beras berwarna merah. Nasi Dagang KYO dari Tumpat ini tersangat sedap. Sayang sekali kuahnya sejemput saja saya terpaksa berjimat. Pagi kedua di KB saya masih pilih nasi dagang yang sama kerana nak betul-betul hadam kan kesedapannya. Cuma RM2.50 sebungkus. Cukup kenyang untuk perut saiz saya ;-)

No comments:

Post a Comment