Friday, 10 July 2015

20 Ramadhan 1436H - Kenyataan nya...



Dalam entry yang lepas saya ada menyebut tidak banyak perkara-perkara pelik berlaku semasa kami berada di kedua-dua tanah suci. Selain insiden-insiden yang agak lucu tetapi buat saya bermuhasabah diri, ini ada 2 insiden yang tak lucu langsung dan sangat mencuakkan.


Umumnya rombongan jemaah umrah akan bergerak menggunakan bas sebagai land transportation yang lebih sesuai dengan jumlah jemaah yang ramai. Kalau anda sampai sini memang banyak sekali bas-bas persiaran di atas jalan raya saling bersaing dengan kereta milik penduduk tempatan. Di Madinah memang tidak kelihatan langsung motorsikal mahupun basikal. Saya tak pasti adakah kerana penggunaan motorsikal memang tidak digalakkan? Atau penduduk Madinah kaya raya buat apa nak pakai motorsikal kalau mampu beli kereta. Atau bermotorsikal memang bukan budaya orang Arab. Memang takkan jumpa anak-anak muda berdezup sana sini macam anak muda Malaysia. Hanya setiba kami di Makkah saja baru kami nampak kelibat motorsikal. Itupun tak banyak.


Di sini pemanduan adalah di sebelah kiri dengan haluan di sebelah kanan. Saya ambil masa juga nak sesuai kan diri. Bukan sebab saya yang kena memandu! Tapi beberapa kali juga bila nak naik bas saya pergi ke sebelah kiri bas. Lepas tu mula lah macam orang buta tercangak-cangak mencari mana pintu bas? Mana pintu bas? Toksah duk cari lah melainkan kalau anda nak duduk dalam perut bas tempat simpan luggage tu! Bila sampai negara orang baru lah faham apa maksud "macam rusa masuk kampung" ;-P


Janganlah anda merasa pelik bila pemandu asyik tekan hon. Hon sana, hon sini. Itu perkara biasa. Umpama signal mereka nak bagi tahu kepada pemandu lain bahawa mereka nak lalu. Atau mereka nak cepat jadi sila ke tepi. Saya kira kaedah suka menekan hon ini saling tak tumpah dengan gaya pemandu-pemandu di Indonesia dan Vietnam (sekadar menyebut negara yang pernah saya pergi saja). Kaedah pemandu negara Arab rupanya sama saja dengan pemandu negara-negara Asia Tenggara. Huru hara!


Sungguhpun hon adalah alat memberi isyarat yang lebih digemari berbanding lampu 'signal' kiri kanan dan sebagainya. Dan sungguhpun dalam kebanyakan masa saya merasa selamat menaiki bas menelusuri jalanraya di Makkah dan Madinah yang lebar dan luas yang kadangkala bas-bas bersaing rapat sebelah menyebelah macam nak berlaga pun ada tapi amazing nya ia tidak berlaku. Tetapi pemandu Arab sama saja dengan pemandu-pemandu di Malaysia yang kebanyakannya tidak berhemah. Pemandu bas kita mungkin memandu dengan cara yang selamat tetapi kemalangan boleh berlaku disebabkan sikap pentingkan diri sendiri pemandu lain.


Dua kali bas yang kami naiki nyaris bertembung dengan kereta. Kali pertama ketika kami ke Jabal Nur kalau tak silap. Bas terpaksa brek mendadak dengan kadar yang boleh menyebabkan penumpang tercampak dari tempat duduk. I'm not kidding. Hingga mutawwif kami Ustaz Burhan yang sedang berdiri bersandar pada penghadang bas (yang katanya sengaja dipasang di bas-bas persiaran untuk elakkan mutawwif tercampak) pun nyaris tercampak ke tempat duduk pemandu. Saya yang sedang ralit mendengar penerangan beliau hanya mampu menjerit terkejut. Subhanallah! Gara-gara sebuah kereta yang tiba-tiba masuk ke laluan kami. Berdebar dada saya, uniknya Ustaz Burhan boleh buat lawak pula. Padahal dia yang paling berisiko waktu itu. Saya tabik kepandaian beliau buat kami rasa tenang.


Kali kedua ketika kami dalam perjalanan dari Makkah ke Jeddah untuk berangkat pulang. Kali ini bas sudah bertukar, pemandu juga bukan lagi pemandu sama yang bawa kami dari Madinah tempohari. Kami dah kepenatan setelah 10 hari beribadah. Sebaik saja melepasi tanah haram jemaah semua pakat tidur. Saya pun tertidur, letih sangat. Sampai di bandar Jeddah saya terjaga. Bandarnya sangat cantik dan hijauuuuu!!! Walaupun mata masih kelat tapi bila nampak rumput dan pokok-pokok palma menghijau terus jadi segar. Saya tak ingin pejam mata semula dan hilang peluang menikmati keindahan ini! Ustaz Burhan mula beri penerangan tentang next stop kami iaitu sebuah pantai peranginan sambil duduk di kerusinya. Walaupun ketika itu masih ramai jemaah yang lelap.


Sampai di satu roundabout saya seperti biasa memang suka memerhatikan jalan dan pemandangan. Bas kami berada di lorong sebelah kanan dan dari gaya pemanduan saya rasa pemandu bas nak ambil pukul 9. Ada sebuah 4WD saya tak ingat jenis apa yang menyelusuri sebelah kiri bas. Agak berjarak juga. Jalan raya di Jeddah sangat lebar. Bila bas semakin menghampiri laluan yang dipilih, saya rasa sangsi sebab 4WD itu sekejap-kejap macam rapat dengan kami tapi tak berapa rapat kemudiannya. Saya alih pandangan. Dan ketika itulah tiba-tiba pemandu bas tekan brek mengejut hingga saya terpaksa menahan tangan pada seat di hadapan untuk elak daripada tercampak. Saya teringat Yaya di sebelah saya. Dia duduk di tepi laluan penumpang. Di sebelahnya adalah pintu bas. Syukur pintu tertutup. Saya menahan tangan pada badannya. Subhanallah. Saya menjerit lagi. Allahuakbar. Yang ini lebih teruk dari insiden pertama. Saya masih tak percaya kami survived. Alhamdulillah. Mujur Ustaz Burhan dalam keadaan duduk kali ini.


Rupa-rupanya pemandu 4WD itu memecut lintas depan bas untuk mengubah haluannya ke pukul 12. Allahu.... kenapalah kome tak keep to the right je dari awal tadi. Boleh tahan juga kerenah pemandu Arab. Serta merta saya teringatkan kejadian-kejadian kemalangan yang melibatkan bas jemaah-jemaah haji/umrah di masa lalu. Oh kalau beginilah cara pemandu Arab memang tak hairan lah. Mereka gemar menukar arah dalam sekelip mata tanpa beri lampu isyarat mahukan menekan hon seperti yang lebih digemari mereka! I guess tekan hon itu hanya kebiasaan pemandu bas saja! Mengucap panjang saya. Rasa hilang semangat sekejap. 


Saya fikir. Cahaya Islam itu tidak dapat memberi manfaat mengubah manusia menjadi lebih baik kalau kita tidak mengamalkannya. Sad but true :-( . Muhasabah diri.



No comments:

Post a Comment