Monday, 23 August 2010

13 Ramadhan 1431H - Ada Sesuatu Yang Mengusik Hati

semalam anak-anak mewah berbuka dengan juadah yang dibeli di bazar ramadhan. sesungguhnya nafsu makan anak-anak yang baru belajar berpuasa ini sungguh besar. masa saya bawa mereka temankan saya ke bazar ramadhan, macam-macam yang mereka nak. sudahnya kalah juga saya bila berpuluh-puluh ringgit terbang dek melayan nafsu mereka. masing-masing dapat juadah yang mereka mahu - fahmi dapat popia goreng, air soya, kuih penderam aka telinga keling (saya gelar telinga abang sebab word keling itu agak offensive bunyinya). yaya pula dapat agar-agar fruits; yang akhirnya dia tak makan pun dan salahkan saya sebab beli banyak padahal dia yang pilih nak perisa strawberry, nenas dan anggur, dia juga dapat dadih perisa strawberry yang saya ikrar selepas ini takkan saya beli lagi dadih untuk dia sebab terbuang begitu saja!

saya tahu pembaziran akan berlaku. saya salahkan diri sendiri sebab rajin mengheret mereka ke bazar ramadhan di subang perdana. bukannya sebab apa, saya kesian tinggalkan mereka kat rumah sedangkan daddy mereka sibuk bersiap2 nak ke surau untuk majlis berbuka perdana. saya tak ikut sebab banyak benda nak urus, faham-faham ajalah baru balik dari berjalan jauh saya kena pastikan rumah teratur. saya tak galakkan anak-anak ikut, bimbang mengganggu urusan daddy di surau, saya sedia maklum dia perlu bertugas semalam. bila tiada saya, siapa nak kawal anak-anak di surau nanti.

pun begitu, kekecewaan saya sebab anak-anak membazir juadah terubat sedikit bila fahmi dan yaya berebut habiskan nasi tomato 2 bungkus. maaf ye saya langsung tak memasak semalam, masih penat memikul tugas sebagai pemandu jadi saya deserve berehat. kalau ikutkan kepala saya ni ada 1001 benda yang saya nak pulun buat tapi badan ni nak pakai lama lagi, jadi berehatlah walau otak saya ligat. oh ya, yaya kuat makan sejak berpuasa ni, jauh lebih kuat makan berbanding fahmi. yaya kalau makan nasi bertambah-tambah dan selera dia tak surut walaupun waktu bersahur. saya lah yang paling gembira melihat perubahan dia. ada ke harapan nak tengok badannya berisi sikit? tidak juga rasanya sebab saya masih boleh mendukung dia tanpa rasa lelah! dengan berat badan statik 15kg tu, saya rasa lebih enak mendukung dia daripada memeluk sekampit beras 10kg!

ada sesuatu yang mengusik hati bila saya sedar hari ini sudah masuk 13 hari kita berpuasa. semalam hari ke 12. saya rasa agak ralat sebab bila bulan puasa barulah saya teringatkan kaum kerabat yang sudah meninggal dunia - arwah moyang, arwah nenek, arwah abang ipar. barulah saya terhegeh-hegeh nak sedekahkan al-fatihah atau baca surah Yasin untuk mereka. itupun kerana tarikh 12 ramadhan tu sering mengingatkan saya arwah abang ipar kembali ke rahmatullah pada hari tersebut. sedih juga kerana kita yang masih hidup ini cepat benar memutuskan hubungan dengan yang sudah pergi. bila hari dan tahun berganti, kita cepat lupakan mereka, kita lupa hubungan kita belum habis kerana kematian, masih ada tanggungjawab buat mereka. kita lupa sedekah buat mereka. kalau esok-esok tiba giliran kita bagaimana?