Monday, 5 August 2013

27 Ramadhan 1434H - Bunga Api, Mercun & Memori


Kebiasaan kita nak menyambut raya mesti ada bunga api. Dari dulu lagi bila nak hujung bulan puasa je mula lah orang main bunga api. Budak kecil main bunga api, budak besar main mercun. Kalau yang Bapak budak main meriam buluh. Tak gitu? ;-). Saya masa kecil dulu main bunga api dan beberapa jenis mercun seperti mercun katak je yang saya ingat. Zaman dulu bunga api paling murah ialah bunga api besi cap kucing tu. Dan bunga api 'bomba' ... tak tau apa nama standard dia tapi saya panggil bunga api bomba sebab warna merah dari pangkal sampai ke hujung lepas tu bunga api dia macam pancuran pili bomba gitu. Dua-dua bunga api ni saya ada memori pedih. Pedih lah kalau dah terpegang besi bunga api kucing yang panas tu. Lepas tu pedih lah tapak kaki melecur terpijak bunga api bomba yang dipatahkan pendek-pendek tu. Bunga api bomba tu kalau kita patahkan pendek-pendek lepas tu kita cucuh api dan baling ke pantai dia akan bergerak liar kejar orang. Suka benor bebudak buat macam gitu dulu.


Tapi, bila giliran kita ada anak, pandai pulak tak bagi anak sendiri main bunga api. Hatta mercun pop-pop yang tak pakai api tu pun tak bagi. Yang ni paling kuat larang ialah mr hubby lah. Dari dulu lagi dia tak bagi main dan beli. Bakar duit katanya. Yelah betul lah tu. Tapi kekadang saya nak juga bagi anak-anak seronok sebab diaorang tengok je budak lain main. Tapi sebab Daddy diaorang tak bagi, saya jadi tak berani nak beli. Punyalah takut kena marah dan tazkirah dengan mr hubby pernah saya bawa anak pergi kedai runcit mamak kat depan tu, depa ternampak mercun pop-pop atas kaunter bayaran terus depa minta. Saya tergerak nak beli tapi takut lah kena marah nanti bernanah telinga den. Sampaikan saya terus berhenti bawa anak pergi kedai runcit time bulan puasa nak elak dari depa minta mercun pop-pop.


Dah begitu, alih-alih tahun ni Daddy dia bawa balik stok bunga api dan mercun 1 beg tak kau terkejut dik non? Buang tabiat ke apa?

Tapi dah rezeki budak-budak kan? Memula rasa nak je tanya, "Err bukan bakar duit ke?" tapi saya telan je soalan tu. Tok sah cari pasal. Rezeki jangan ditolak, tak gitu?



Memang raya sakanlah depa tahun ni. Tiap-tiap malam lepas balik dari surau masing-masing salin baju dan cepat-cepat keluar semula. Saing diaorang main bunga api bertukar-tukar tiap malam. Tiga malam lepas main dengan Diana. Dua malam lepas dengan Adeena dan adik-adiknya. Semalam dengan Firdaus. Malam ini saya dengar Yaya dah pakat dengan Maidini dan Adeena jam 10.30 berkumpul depan rumah kami. Aduhhh nampak gayanya kenalah saya jadi tukang pantau. Selama ni Daddy dia dok pantau sebab saya memang tak kuasa. Tak tahan bau asap, tekak masih sakit hidung pun pedih lagi ni. Macam manalah depa ni boleh tahan ye?


Oh... yang main meriam pun ada saya kira. Sebab tiap malam time terawih tu lah selalu berdentum dentam betul-betul kat tepi surau. Entah sapa punya kerja. Masa saya kecil dulu takde orang main meriam buluh. Sebab takde pokok buluh. Kot ada pun pokok buluh kat kawasan lapang bekas tapak pejabat polis lama betul-betul belakang rumah saya yang juga merupakan tapak tinggalan bekas perang komunis dulu. Banyak hantu kat situ sapa berani masuk? Kot ada pun anak-anak polis main mercun buatan sendiri. Bubuh belerang dalam tin. Tapi itu kerja budak lelaki lah. Ada satu jenis lagi mercun budak baik. Letak air dalam tin milo kosong dan letak ais batu (frost) yang penjaja aiskrim guna dalam bekas aiskrim depa tu. Nanti meletup dan tercampak lah penutup tin milo. Itu mercun habis baik lah tu. Tak melibatkan api dan selamat. Jangan pulak ko pergi tadah muka dekat penutup tin milo, itu memang cari azab namanya. Kalau tak pesek hidung tu tak taulah nak cakap. Apek jual aiskrim cukup suka lalu kuarters time raya. Bukan pasal bebudak beli aiskrim tapi yang lebih laku ialah frost dia. Tapi mak-mak cukup tak suka. Padah apek aiskrim tu kena hambat!





27 Ramadhan 1434H - Pulut Kuning Penghujung Ramadhan ... Syurga Sudah Tidak Merindui Kita




Pulut kuning.
Masa saya budak-budak dulu sangat sinonim dengan acara khatam al-Quran. Tapi dulu-dulu masa kecil saya tak merasa pun diraikan dengan pulut kuning bila khatam al-Quran. Maklum je, khatam pun mengaji sendiri dengan my mum. Masa mengaji dengan tok guru saya tak sempat habis. Orang lain sebaya saya habis serentak, terus tok guru buat majlis berarak dengan bunga manggar dan pulut kuning. Orang mengaji bulan Ramadhan, saya mengelat datang tak datang. Sudahnya bila geng sebaya khatam saya jadi malu, terus berhenti.


Sebelum bulan puasa saya habaq kat Fahmi, saya dah khatam al-Quran untuk kali pertama tahun ini, dia bila lagi? Cakap kat dia bukan sebab apa, nak bagi dia semangat supaya lebihkan rajin mengaji dan mesti letak target bila nak khatam. Bukannya dia teruja nak tambah rajin mengaji, alih-alih dia pula cakap kat kita, "Hah, mama buat lah kenduri, masak pulut".  Adoiiiiiiii... dah tua bangka macam ni kenduri apa benda nya sayang oii. Buat malu kaum je. Saya bagitau dia, orang Melayu kita buat kenduri khatam al-Quran untuk kali pertama je. Kalau dah berkali-kali takde maknanya kenduri bagai. Hamboi lumayan lah belanja tiap kali khatam je kenduri. Khatam je kenduri. Agak macam gitu tiap-tiap hari lah kita dapat jemputan kenduri khatam al-Quran ye? Terus hampa muka dia bila saya kata takde kenduri or pulut kuning.


 Tapi dalam hati saya pendamkan niat, nak tunaikan juga hajat dia nak makan pulut kuning. Dalam hati saya kata inshaaAllah kalau panjang umur saya khatam lagi bulan Ramadhan ni nanti saya masakkan pulut kuning. Alhamdulillah tepat jam 12.32 semalam lengkaplah tilawah saya. Tercapai hasrat nak sudahkan tadarus, dan tercapai dah target untuk tahun ini. Jadi saya hadiahkan pulut kuning untuk Fahmi, terbalik pulak kan? Takpelah kita buat orang gembira apa salahnya. Cuma saya minta orang dalam rumah ni vote nak makan dengan kari ayam atau rendang. Cik Yaya memang saya sedia maklum nak rendang. Tapi nampaknya vote untuk kari ayam mendahului. Mr Hubby kata buat yang mudah saja sebab dia pun tau saya penat sangat semalam, ada aura selsema ditambah dengan bahu dan lengan bisa bonar!




Peha ayam besar lengan Fahmi! Ayam ke ayam belanda ni?  Hehe... kes stok ayam saiz kecil habis sebab lambat pergi pasar. Yang tinggal ayam besar gedabak je, seekor lebih dari 2kg!


Hari ini sudah masuk 27 Ramadhan. Sebaik menginjak ke 15 Ramadhan tempohari terasa cepat je hari berlalu kan? Saya rasa belum puas bertemu Ramadhan. Rasa nak berhentikan masa. Kalau boleh 11 bulan Ramadhan, aci tak? Surprisingly, jemaah solat terawih di surau saya makin ramai. Nampak anak-anak remaja bertambah, barangkali sebab cuti sekolah sudah bermula. Tazkirah Ramadhan di tempat saya yang terakhir malam tadi :-(. Dalam masa 2 hari je lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. Syurga sudah tidak merindui kita lagi. Teringat kuliah Ustaz Hidayatullah. Katanya syurga merindukan 4 golongan manusia:

Orang yang ahli derma
Orang yang berpuasa
Orang yang membaca al-Quran
Orang yang menjaga lisan


Keempat-empat golongan ini agaknya mudah nak jumpa dalam bulan Ramadhan kot. Kerana bila berpuasa kita dianjurkan perbanyakkan sedekah (derma). Kita juga bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi juga menjaga tingkah laku serta tutur kata. Dan seterusnya kita dianjurkan membaca al-Quran di mana pahala orang yang mengaji sebagaimana sabda Nabi saw:

"Barangsiapa membaca satu huruf dari al-Quran, maka ia mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan sebanding sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim adalah satu huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf"


MasyaAllah hebatnya ganjaran amal ibadat kita di bulan puasa ni kan. Dah begitu, macam mana tak rasa sayang nak lepaskan Ramadhan? Moga amalan kita di bulan ini diteruskan... terus istiqamah.