Penat juga berkemas rumah hari Ahad sehari lepas kenduri. Walaupun kenduri sebenarnya bukan dibuat di rumah Ma saya pun. Tapi rumah Ma dah jadi persinggahan saudara mara dari Terengganu, Kelantan dan Penang. Rumah teres 3 bilik tu melimpah ruah dengan tetamu yang masing-masing pandai-pandai sendiri lah cari tempat untuk tidur baring. Bilik air cuma 1 pulak tu. Saya kesian dengan mereka. Tapi tabik springggg sebab mereka tak pernah merungut mahupun serik. Bukan tak dicarikan rumah kosong untuk mereka port, rumah adik lelaki bongsu saya cuma selang 1 pintu saja dengan kami. Rumah adik lelaki no.2 seberang surau aja. Tapi rumah Ma juga yang mereka suka. Maklum, Ma saya kakak yang sulung. Jadi dengan toleransi mereka yang sangat tinggi terhadap kekurangan layanan tuan rumah, apalah sangat penat lelah berkemas tu kan?
Petang Ahad cadang dah nak gerak balik semula ke Shah Alam. Tak mau balik malam sebab tentu jalan jam teruk sebab ramai yang ambil anak dari kampung pun berlumba mulakan perjalanan hari Ahad tu. Tapi benarlah kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Tengah melayan anak-anak saya dan anak-anak kakak berjimba jimbi di JJ S2 dapat sms dari my Ma bagitau Pak Anjang saya (bapa pengantin) masuk hospital sebab sakit dada. Kelam kabut lah kami balik rumah ambil Ma pergi melawat. Sudahnya, malam lepas maghrib juga baru kami dapat bertolak balik Shah Alam... ngeh ngehh ngehhh.
Pak Anjang saya secara fizikal kelihatan ok. Rasa tak sedap badan, angin dan susah bernafas. Tak tau lagi sakit apa. Masih dipantau di wad. Barangkali kombinasi kesihatan yang tak berapa baik tetapi tidak diketahui ditambah kepenatan serta tekanan menguruskan majlis kahwin anak sulungnya. Bab makan juga tak boleh rule out. Teringat pesan lecturer kuliah advertising saya dulu, makanlah apa saja kamu suka sebelum usia kamu 30 tahun, selepas 30 tahun dah tak boleh makan sesuka hati lagi. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. You are what you eat.
Menguruskan majlis kahwin bukan kerja mudah kan? Buat perancangan saja pun dah pening kepala. Banyak tekanan mental dan emosi. Selagi belum selesai selagi itu kita paksa diri. Bila dah selesai habis mari semua penyakit. Saya tabik spring kat my Ma yang dah uruskan majlis kahwin 4 orang anaknya. Dari A-Z buat seorang. Adik beradiknya jauh jadi siapa yang ada untuk membantu? Bila Pak Anjang pilih untuk menetap di Seremban juga, kiranya Ma saya jadi tempat bergantung dalam bab kenduri kendara. Ingatkan dah selesai kahwinkan anak sendiri dah selamat lah ye? Tapi seronok juga bila kehadiran kita diperlukan. Mengangkat darjat seorang anak sulung. Think positive, think positive! (*_^)
Oh ya, malam ini ada tetamu besar nak datang surau rumah saya. Kuliah Agama yang akan disampaikan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang. Malam ini selepas solat maghrib. Kuliah agama berserta program kutipan dana untuk mangsa kebakaran Maahad Darul Quran, Rusila, Terengganu. Malam tadi lepas solat Isyak setiausaha sudah maklumkan pagar surau akan ditutup untuk elak kesesakan dalam kawasan surau. Maklum jelah surau kami kecil. Tapi sungguhpun kecil sangat hidup dan meriah setiap malam serta kerap jadi persinggahan musafir laluan Shah Alam-Kuala Selangor ni. Dijangkakan trafik memang sesak teruk menghala ke perumahan nanti. Kehadiran jemaah dari taman perumahan berdekatan apatah lagi dari kampung-kampung yang berjiran dijangkakan sambutan yang overwhelming. Jadi menerusi forum online penduduk sudah dimaklumkan supaya boleh buat perancangan awal bila balik kerja nanti. Yang sedihnya ada juga segelintir yang mensensasikan pemberitahuan umum sehingga menjadi medan untuk melepaskan geram dari sudut politik.
Put aside isu politik. Saya tak minat politik. Tapi saya suka juga nak dengar kuliah beliau. Saya tak tau lagi apa tajuk kuliah beliau. Jujurnya saya tak pernah dengar beliau sampaikan ceramah, saya tak pernah dengar ceramah mana-mana ulama parti tersebut. Saya tak tau lagi apakah kuliah beliau akan menjurus kepada isu politik. Saya tak mau ada persepsi negatif. Saya teringin nak dengar. Moga-moga ada ilmu yang bermanfaat. Moga-moga ada pencerahan. Dan disitu juga ada peluang untuk menambah saham akhirat - kutipan Dana untuk Maahad. Boleh google maps untuk peta ke Alam Budiman.