Friday, 5 December 2014

Nasi Tomato Arab ala Zam Zam


Kalau nak makan masakan Arab kami suka ke Restoran Zam Zam di Oasis, Seksyen 9 Shah Alam. Dalam banyak-banyak restoran masakan Arab yang pernah kami kunjungi, kami dapati hidangan Arab di sini adalah antara yang paling sedap dan cukup dengan rasa Arab nya serta paling murah. Setalam hidangan 1/2 kilogram chicken atau lamb madghut (hidangan kegemaran kami) bersama nasi tomato versi Arab nya cuma berharga RM20. Dan ianya boleh dikongsi oleh 3 orang pemakan nasi (1 dewasa dan 2 kanak-kanak) atau 2 orang lelaki dewasa!!! Bermakna seorang kosnya cuma RM6.50 (dikongsi 3) atau RM10 (dikongsi 2) sahaja! Murah bukan? Sebab itu Restoran Zam Zam jadi pilihan utama kami. Selain tarikan baklava nya yang sedap itu ;-).


Namun, nak pergi selalu (setiap kali rasa teringin itu datang) tak mungkin lah. Segan kot dengan tokey dan waiter nya... macam kat dahi dah ada cop 'Zam Zam fan-a-tic' gitu. Jadi saya berusahalah membuatnya sendiri. Walau tiada resipi ditangan. Again, segan kot nak minta resipi dengan orang meniaga ni. Rasa macam tak sesuai sangat. Orang cari makan dengan resipi tu kita sedap-sedap nak ushar.


Untuk nasi nya saya menggunakan resipi asas nasi arab. Perbezaannya saya tambahkan buah tomato dalam tin. Bukan puri ye puan-puan. Dan juga air rendaman secubit saffron atau za'faran yang saya rendam selama 6 jam. Sebab itu warna nasinya kuning kejinggaan dan bukan merah pucat sebagaimana warna nasi tomato umumnya. 




Ayam Madghut adalah ayam yang dimasak secara pressure cooked. Jangan pelik tengok paha ayam saya kurus keding. Saya guna ayam kampung @ organik. Dah tak kuasa nak makan ayam cucuk hormon ni. Very health concious sekarang ni (konon). Dulu masa anak-anak kecil memang kami makan ayam organik saja. Tapi bila lama-lama susah sikit nak dapat bekalan, beralih balik makan ayam cucuk hormon. Sekarang insaf balik. Moga berterusan istiqamah menyediakan makanan yang lebih sihat untuk keluarga. Amin.


Resipi Persediaan Ayam Madghut


1 ekor ayam kampung/organik potong 4 (diperap dengan serbuk kunyit)
5 cawan air
2 helai daun salam
2 biji bawang besar belah 4
1 batang kulit kayu manis
bunga lawang
lada hitam
garam

*tambahan - setengah biji lobak merah & ubi kentang potong dadu

Cara-cara:
Rebus semua bahan hingga ayam empuk. Air rebusan disimpan untuk masak nasi.






Cara Penyediaan Nasi Saffron Tomato


2 cawan beras basmathi (gaul dengan serbuk kayu manis/serbuk ketumbar/serbuk buah pala)
2 biji bawang merah cincang
1 tin tomato cincang (dengan kuahnya sekali)
1 sudu besar serbuk kayu manis
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk buah pala
5 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
2 cawan air rebusan
1 cawan air rendaman saffron
garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Tumis bawang dan rempah tumisan dengan 2 sudu mentega dan 1 senduk minyak hingga layu.
3. Masukkan beras yang sudah digaul dengan semua jenis rempah serbuk. Kacau hingga mesra dan biarkan sekejap.
4. Masukkan tomato cincang. Gaul sebati.
5. Bila agak kering masukkan air rendaman saffron dan air rebusan ayam bersama lobak merah dan ubi kentang didalamnya. Masukkan garam. Biarkan merenih dengan api sederhana.
6. Bila air sudah separuh kering, perlahan kan api. Susun ayam yang siap direbus di atasnya dan tutup periuk dengan aluminium foil. Kemudian tutup dengan tutup periuk dan biar hingga nasi masak sempurna.
7. Boleh hias dengan taburan badam keping yang digoreng dan daun pudina.


Saya juga hidangkan nasi dengan sambal tomato Arab serta sup daripada rebusan ayam tadi. Maklumlah orang Melayu tercekik kalau makan kering tak berkuah. Nasi ni sebenarnya jenis moist. Makan tanpa kuah pun sudah cukup. Tambahan ia telah diperisakan dengan tomato, saffron dan rempah ratus dengan sempurna. Tak perlu apa-apa condiments. Melainkan bagi yang suka pedas sikit makanlah dengan sambal tomato yang dikisar dengan cili api tu ye.