Saturday, 3 August 2013

25 Ramadhan 1434H - Dari Allah Kita Datang, KepadaNya Kita Kembali

Subhanallah... Maha Suci Allah, Dia yang memiliki Kebesaran dan Keagungan,
Dia yang Maha Besar, Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui

Bila kita bangun untuk bersahur pagi ini, pernah ke kita menjangka itulah makanan terakhir yang masuk ke perut kita, yang mana sahur kita itu tadi TIADA berbuka nya?
Yang kita akan terus BERPUASA untuk selama-lamanya?

Bila kita menghantar suami/isteri atau anak pergi kerja/sekolah pagi tadi bolehkah kita menjangka tidak akan bertemu mereka di meja bersama-sama menghadap iftar Maghrib nanti?

Atau waktu kita awal-awal tempohari mengucapkan syukur kerana dipanjangkan usia bertemu Ramadhan sekali lagi, mampukah kita menjangka bahawa kita MUNGKIN dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadhan sahaja tetapi TIDAK AKAN bertemu Syawal?

Kita bukan siapa-siapa, tiada kebolehan dan kemampuan untuk menjangka kedatangan sakratulmaut kita.
Apatah lagi kalau pemergian itu bukan kerana sakit berpanjangan. Sukar untuk kita menebak apatah lagi bersedia bila mendengar berita pemergian orang-orang di sekeliling kita.
Kerana itu adalah lumrah bagi kita merasa terkejut.
Sebagaimana kami dikejutkan dengan berita pemergian seorang sahabat dan jiran akibat kemalangan sebelum waktu berbuka semalam. Berita pemergian beliau diwar-warkan di laman facebook surau Raudhotul Firdaus (tempat kami). Screenshotnya di whatsapp ke handphone Mr Hubby. Reaksi? Ada yang menafikan berita tersebut sebagai tidak benar. Ada yang kata cuma kemalangan saja. Reda sebentar rasa terkejut dalam hati. Tapi cuak juga, tak mungkin admin surau berani keluarkan berita yang belum sahih?

Tuan punya badan yang dimaksudkan muda sekurang-kurangnya 2-3 tahun dari saya. Bayangkan saya ni muda lagi (sempat perasan lagi tu), jadi dia lagi lah muda. Pengamatan saya terhadap dia yang saya kenali awalnya cuma di laman forum penduduk, dia agak lucu orangnya. Antara orang yang awal saya dan mr hubby kenali atas nama saja sebelum kami berpindah ke sini. Dulu dia sahabat geng basikal mr hubby, Saya ingat lagi dulu-dulu masa dia baru berjinak-jinak mengayuh basikal (mountain bike) petang-petang hujung minggu kami sering terserempak dia berkayuh seorang diri. Katanya persiapkan stamina sebelum join geng basikal sebab segan kalau mengayuh tertinggal di belakang. Gigih dia berkayuh seorang diri. Mr Hubby pun banyak bagi dia tips jenis basikal yang sesuai untuk MTB. Anak sulungnya sempat ke tadika yang sama dengan Yaya tetapi 2 years her junior lah. 

Kerapkali bila saya luangkan masa yang lama di dapur, saya pasti teringatkan apa yang pernah dituliskannya dalam forum - beliau letak sebiji tv di dapur sebagai peneman isterinya memasak, takdelah boring sangat. In fact seminggu dua ini perkara itulah yang kerap terngiang-ngiang dalam kepala saya. Sudah agak lama juga beliau tak join geng basikal lagi dah. Baru saya tahu minat sudah beralih kepada motorsikal berkuasa tinggi.

Jadi, lepas solat terawih tadi bila pengerusi surau mengesahkan kematian beliau, saya rasa sebak dan sedih sangat. Terbayang-bayangkan wajah anak sulungnya yang comel tu memakai kostum harimau masa persembahan akhir tahun tadika. Terbayang-bayangkan wajah isteri arwah yang beberapa kali terserempak makan di restoran yang sama. Terkenangkan perginya beliau tanpa sempat berbuka dengan keluarga. Cerita yang saya dengar dari mr hubby, arwah dan geng motorsikalnya berhenti sebentar di tepi highway dalam perjalanan nak berbuka puasa di Bagan Lalang. Berhenti tu pun sebab tunggu geng lain yang tertinggal di belakang. Datang sebiji kereta toyota wish yang dipandu seorang wanita dipercayai dalam keadaan mengantuk (balik kerja) terbabas lalu menghentam arwah dan seorang kawannya. Arwah mengalami kecederaan teruk pada tulang belakang dan tulang rusuknya patah menusuk jantung. Kawannya cedera parah juga. Pemandu wanita tidak cedera tetapi a disturbing story yang saya dengar pemandunya keluar dari kereta sambil tertawa? Saya mahu berbaik sangka, dia barangkali terlalu terkejut dengan kejadian itu, macam-macam reaksi pelik boleh berlaku.

Saya tengok anak-anak sendiri. Rasa insaf. Kita tak tahu bila nyawa kita pula diambil. Entah kan sempat entah kan tidak melihat mereka membesar dan faham tujuan hidup kita ni. Sudahnya saya pula yang tak boleh tidur, terbawa-bawa sangat dengan rasa sedih ni. Saya ambil kesempatan berpesan kepada Fahmi, andai saya pergi nanti saya mahukan anak-anak saya memandikan jenazah saya. Tolong ingatkan adiknya bila sampai masa itu nanti. Dan walau saya sedar ajal dan maut bukan hak saya, tetapi dalam hati saya berharap dia dan adiknya cukup besar untuk melaksanakan amanah itu nanti.

AlFatihah untuk arwah Mohd Helmi.


Anak-anak ini terlalu kecil untuk bersedih dengan berita pemergian sahabat tadi.
Mereka seronok beratur ambil duit raya sumbangan surau tempat saya. Ini acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu kanak-kanak. Setiap malam bulam Ramadhan memang hingar bingar dengan gelagat kanak-kanak. Tetapi malam pengagihan duit raya selalunya lebih gamat lagi umpama market bila acara kemuncak tiba. Selalunya kutipan sumbangan penduduk untuk aktiviti surau di bulan Ramadhan akan ada lebihan. Lebihan tersebut digunakan untuk tampung belanja utiliti dan aktiviti bulan-bulan seterusnya dan sebahagian kecil disumbangkan kembali kepada anak-anak kecil ini. Moga anak-anak ini berjaya di dunia dan akhirat.