Friday, 26 December 2014

Yang Wajib Singgah... Yang Tak Berapa Nak Wajib

Dari terengganu dalam perjalanan balik ke KL inilah lokasi-lokasi yang wajib kami singgah.



Kalau nak merasa keropok lekor Terengganu yang super duper sedap, sila lah singgah di gerai Keropok Lekor 008 di Pantai Peranginan Kelulut, Daerah Marang. Terletak bersebalahan dengan stesen minyak caltex kalau tak silap saya. Kalau bukan caltex mungkin Shell. Tapi yang penting bangunan gerai ni senang nak cari sebab warna hijau. Besar tempat memproses keropok di sini keranan bagunannya 3 tingkat dengan 1 tingkat dibawah tanah (lembah). Tak susah mencarinya kerana ia terletak di laluan utama Marang-Kuantan... tak perlu nak masuk kampung cari sana sini. Tepi jalan utama je pun.


Jangan cerita pasal keropok Losong atau BTB (Bukit Tok Beng) lagi dah. Keropok Lekor 008 yang terbaik saya pernah makan kerana kandungan ikannya yang sangat tinggi. Sedap memang terasa ikannya. Bila digoreng ia kekal lembut dan tidak liat langsung. Kata adik lelaki nak potong dengan pisau tapi tak sempat potong dia patah sendiri. Itu bukti keropok lekornya padat isi ikan dan bukan padat dengan tepung sagu semata. Saya mula diperkenalkan dengan keropok lekor Kelulut ini semasa masih bekerja di syarikat lama. Anak buah saya yang beri sebagai hadiah. Terus saya terpaut dengan kelazatan dan keaslian rasanya. Makanya sejak 4 tahun yang lepas hanya keropok lekor 008 ini saja yang saya beli. Dan sejak 4 tahun lepas hingga kini, rasanya masih tidak berubah. Sangat berbeza dengan keropok lekor lain-lain tempat yang bila boom saja jadi popular terus dikurangkan kandungan ikan dan jadi makin liat.




Ingat lagi warung di Kemaman yang sering saya sebut-sebut sebagai tempat persinggahan kami mengalas perut? Ya, warung tu dah makin besar sekarang dan sudah ada banner nama kedai siap nombor telefon lagi. Menunya pun dah bertambah. Cuma bila makin besar kedai ni tempat parking jadi terhad pulak. Saya mula singgah di gerai ini sejak 5 tahun lepas rasanya. Dulu tak banyak pengunjung. Sekarang saya lihat pengunjungnya datang dari merata tempat. Pelancong tempatan dari Utara dan Selatan berdasarkan no. plat kenderaan masing-masing dan loghat yang digunakan. Alhamdulillah... kualiti hidangan tetap sedap seperti dulu. Dan harga tak pernah berubah. Sepinggan atau sebungkus bihun goreng yang tahap kenyang perut masih RM1.00 cuma. Mana nak cari?

Sampai di Geliga, Kemaman cari Masjid Geliga. Ada simpang 3 di masjid, masuk simpang tu. Simpang itu adalah untuk ke Teluk Mak Nik atau Monica Bay. Kalau dari arah Terengganu akan jumpa stesen bas sebelah kiri, kemudian simpang masuk. kalau dari arah Kuantan akan jumpa masjid dulu belah kanan kemudian simpang. Masuk simpang jalan terus tak sampai 500meter akan jumpa warung ni sebelah kiri anda. Hadapan warung ada 2 biji banglo mewah yang cantik. 1 banglo sedang dalam pembinaan ketika kami sampai tempohari. Saya kira sudah detail perincian saya bagi.


Yang dah boleh strike out dari senarai :


Nasi dagang kontroversi kepala ikan suatu ketika dulu. RM3.00 sehidang seorang makan. Harganya lebih 50sen daripada kebanyakan nasi dagang yang dijual di Pantai Timur. Dari KB ke Terengganu rata-rata dijual pada harga RM2.50. Mengikut selera saya sendiri sebenarnya banyak lagi nasi dagang lain yang lebih menepati citarasa saya. Nasi dagang yang saya kenal sejak kecil nasinya lembut mesti digaul dan diperisakan dengan bawang merah hiris halus, rempah halba, halia hiris halus dan di'larung' dengan santan. Sayang sekali nasi nya tidak menepati identiti dan rasa nasi dagang sebenar. Gulai ikannya juga sangat lain rasanya. Tapi tak kisahlah bab gulai tu ikut resipi masing-masing. Cuma menariknya di sini, ikan tongkol dihidangkan siap dibuang tulang. Mudah nak makan walaupun potensi nak tercekik tulang tu agak tipis kerana tulang ikan tongkol agak besar dengan sedikit tulang halus di tengah isi. Saya kurang gemar bila isi ikan dilerai begini kerana portion ikan yang diberi tidak sampai pun 1 potong. Terletak di Chendering. Kalau nak cuba juga cari je Masjid putih Chendering. Gerainya dihadapan rumah sebelum masjid putih tadi.





Wednesday, 24 December 2014

Program Kembara Iman Dan Solat - Ustaz Ebit Lew


Seminggu selepas kami balik dari percutian ekspress ke KB Dan Terengganu, tiba masanya untuk Fahmi berpisah sementara dengan kami. Dia telah kami daftarkan untuk mengikuti Program Kembara Iman dan Solat anjuran Transform Training milik Ustaz Ebit Lew dan abangnya.


Sejujurnya saya rasa begitu berat untuk melepaskan dia pergi. Biasalah, perasaan seorang ibu kan. Sentiasa risaukan anak. Risau bolehkah dia urus diri kan sana. Macam mana baju-baju kotor dia, main campak aja ke. Ada ke tertinggal, tersalah letak apa-apa barang peribadi. Sempat makan ke tidak dalam mengejar aturcara program yang padat. Macam mana dia kalau sakit perut tengah malam. Selesa ke tidak bilik tidur, bilik air nya. Allahu... kalau nak layan apa yang bermain dalam kepala seorang ibu ni rasanya sampai ke tua lah anak-anak dikepit celah ketiak.


Tapi hakikatnya saya lebih suka untuk dia pergi. Biarlah saya tanggung kerisauan yang bermain dalam fikiran ni kerana saya tahu banyak kebaikan yang bakal dia perolehi daripada berkepit dengan saya di rumah. Ngeeee.... Jadi pada Ahad 21 Disember kami sekeluarga bergerak ke Kuala Kubu Baru menghantar anak teruna seorang ini. Dengan berbekalkan beg galas saiz sederhana (lebih kecil sikit dari beg sekolahnya) dan recycled beg berisi songkok, kasut sukan dan penyangkut baju yang tak muat nak disumbat dalam beg galasnya. Kesemua pakaian Fahmi yang pilih dan sumbat sendiri dalam beg. Ye, dia travel light. Sudah biasa begitu setiap kali nak balik kampung mr hubby atau nak overnight travel ke mana-mana pasti beg sandang biru tu digunakan. Dan dia pun dah boleh agak berapa banyak baju nak bawa. Selalu dia lebihkan sehelai dua t-shirt.


Setibanya di sana, saya jadi kecut perut melihat peserta-peserta lain yang masing-masing mengheret travel bag beroda saiz besar. Tak kurang yang pikul bag beg macam nak balik kampung 14hari! Aduhhh... aku yang silap kira ke apa? Senak dah perut. Tapi bila saya kira-kira semula memang 3 hari 2 malam pun. Cukuplah 6 helai t-shirt, 1 baju Melayu dan 5 helai seluar track bottom (ni pun saya rasa macam terlebih je). Dah siap extra kan 1 helai t-shirt. Abis tu apa benda yang peserta lain heret sampai beg troli besar? Bukan 1 beg tapi siap ada beg sampingan lagi.
Tenang. Tenang mak nya. Kita bukan tak biasa. Kita dah biasa latih anak travel light.


Budak lelaki baju biru jalur leher merah belakang fahmi tu akhirnya menjadi teman baik dia sepanjang program. Tidur katil double decker, Fahmi di bawah dia di atas. Darwisy namanya. Malam pertama Darwisy tak dapat tidur, akhirnya mereka berkongsi satu katil hehe...


Selesai pendaftaran kami dijemput menikmati sarapan ringan. Maklum Kuala Kubu Baru tu jauh perjalanannya. Semua kena keluar rumah awal pagi. Kot ada yang tak sempat sarapan. Lepas sarapan peserta dibawa ke tempat lain untuk orientasi dan mula program mereka. Ibu bapa pula disuruh masuk dewan. Diberi ceramah percuma oleh ustaz Ebit Lew. Hebat kan? Ceramah bukan sekejap. Dia pulun 2 jam setengah. hah, ko mampu?


Untuk anak-anak kecil supaya tak ganggu konsentrasi ibubapa yang sedang ditazkirah dan dibasahkan hatinya hingga bercucuran air mata air hidung semua, disediakan satu bilik khas untuk bermain. Masa datang pun disambut dengan maskot-maskot Spongebob, Winnie the Pooh, dan macam-macam lagi yang saya dah mula tak kenal sebab anak-anak pun dah makin besar dan tak tengok kartun-lartun gitu lagi. Gitu sekali dia menyambut dan berusaha memberi keselesaan supaya dapat khusyuk dan tawadduk. 


Dan saya puji Ustaz Ebit Lew yang sangat merendah diri orangnya hingga kita tak rasa seperti ada protokol antara dia dengan kita. Sambil memberi tazkirah kadang dia duduk di atas kerusi supaya senang audience nampak dia kerana dia kecil molek orangnya. Kadang dia duduk berjuntai kaki di atas pentas. Dan dalam tutur bicaranya yang sangat lembut itu dia tak putus-putus memohon maaf atas ketidakselesaan kerana dewan yang agak sempit katanya. Dan tak henti-henti dia meminta petugas ambilkan kerusi untuk tetamu yang berdiri. Dan tak henti-henti juga dia memuji ketegaan tetamu duduk dalam majlis ilmu walau dalam keadaan kurang selesa. Hingga saya yang sebenarnya sedang melawan sakit kepala (migrain) dan sakit bahu serta sakit leher yang menyerang tiba-tiba dapat bertahan dan memujuk hati bila mana ustaz berkata "...tuan-tuan, puan-puan yang datang ni ada yang datang dengan pelbagai kesusahan, ada yang susah nak duduk lama-lama tapi dengan kesusahan ini semoga Allah balas niat baik tuan-tuan, puan-puan..." Allahu... terpujuk hati.


Sakit bahu tu biasa lah kadang elok kadang datang. Sakit leher dan migrain tu pun faham-faham aja lah... anxiety lah tu asyik dok fikir pasal anak je mana tak sakit kepala. Alhamdulillah.


Pengisian program sangat bagus. Hari akhir parents dihidangkan dengan tayangan video aktiviti anak-anak sepanjang 3 hari 2 malam itu. Memang tersentuh hati mendengar kupasan Ustaz Ebit Lew. Dan saya puji tindakan ustaz yang memberi pasak rohani sekali lagi kepada parents. Supaya parents tidak culas dalam mendidik dan membimbing anak-anak ini. Untung ibubapa yang punya anak-anak sedia elok tak perlu diawasi sangat mak ayah sibuk dengan kerja tapi memang dia jadi elok dan tau apa yang terbaik untuknya. Tapi itu tak bermakna sudah cukup keperluan rohaninya. Ibubapa mesti berilmu. Biar menjadi sumber rujukan utama anak-anak. Itu akan membuat anak-anak lebih memandang tinggi ibubapa. Moga saya dan suami menjadi ibubapa yang terbaik untuk anak-anak.


Indahnya menyertai program-program sebegini. Seperti pesan saya kepada Fahmi, di sinilah tempatnya untuk menimba ilmu yang tak diperolehi ditempat lain. Disini juga tempat untuk menjalin silaturrahim. Dan benarlah kerana dia banyak dapat kawan. Darwisy yang sempat jadi teman tidur sekatil dengannya itu rupa-rupanya tinggal tak jauh dari taman perumahan kami. Malah buka sekolah tahun depan dia akan bersekolah di sekolah yang sama dengan Fahmi sebagai pelajar baru. Cuma dia rupa-rupanya muda setahun, sebaya dengan Yaya. Alhamdulillah sempat berkenal-kenalan dengan mak ayah Darwisy juga. See... cantik kan aturan Nya?



Friday, 19 December 2014

Cuti-Cuti Pantai Timur ~ Menjejak Masjid Tok Guru, KB ke Terengganu


Kami check out dari Hotel Ridel selepas kembali dari menikmati sarapan di Kopitiam Kita untuk kali kedua. Masa check out jam sudahpun menghampiri pukul 12 tengahari. Sebelum kami tinggalkan bandar KB ini masih ada satu lagi tempat tujuan yang perlu kami jelajahi. Masjid Tok Guru di Kampung Pulau Melaka! Kami sepakat, setidak-tidaknya mesti ke sini walaupun sekali cuma asal dapat tunaikan solat berjemaah di masjid tersebut. Kalau ada tuah barangkali terserempak dengan Tok Guru Datuk Nik Aziz sendiri.


Berpandu kan waze kami jelajahi mencari destinasi. Ambil masa juga, tak tahulah kerana jaraknya atau kerana kami tak familiar dengan tempat ini maka teragak-agak memandu. Kami tiba sebelum masuk waktu Zohor. Tekak kering kerana hari agak panas Khamis itu. Diluar simpang masuk masjid Tok Guru ada sebuah kedai makan yang menarik perhatian kami, Awana Ice Blended nama kedainya. Tapi ia bukan sekadar menjual air. Ada pelbagai menu di kedai ni. Kesemua menunya sangat menambat selera saya. Ketika itu pekerja-pekerja yang saya kira terdiri daripada ahli keluarga (ibu/ayah/anak2) sedang sibuk di kaunter penyediaan hidangan masing-masing. Anak-anak lelaki sibuk di kaunter minuman. Ada ice blended pelbagai perisa termasuk ABC dan cendol. Ada kaunter nasi ayam, mee celup, mee kari dan lain-lain hidangan panas seperti padprik belut. Tapi sayangnya mereka hanya beroperasi sekitar jam 2 petang.*Sigh*. Lepas minum kami pun terus tuju ke masjid. Tokey kedai pun dah siap-siap berjubah putih pi masjid juga.

Memang bukan rezeki kami hari tu, tak dapat terserempak dengan Tok Guru. Besar harapan nak jumpa orang alim ni. Ada juga yang datang bawa anak kecil. Hajat nak minta Tok Guru tahnik kan. Masa saya hadiri konvensyen Fiqh Sunnah anjuran K-Fiqh (team mursyid dan Telaga Biru) bulan Oktober tempohari sepatutnya ada slot forum bersama Tok Guru. Sayangnya beliau sedang uzur ketika itu tak dapat bersama kami.


Kami tinggalkan Masjid Tok Guru dan kenangan persinggahan singkat di banda KB sewaktu jam menginjak pukul 2 petang. Terus ke destinasi seterusnya ke Kuala Terengganu melalui Bachok-Setiu-Kuala Terengganu. Ini adalah laluan utama yang menghubungkan KB dengan Terengganu. Jalan pantai kata orang. Sebab sepanjang perjalanan kita dapat lihat pemandangan pantai yang tak putus-putus. Berselang seli dengan pemandangan perkampungan nelayan. What a bliss! Pemandangan ini tak pernah mengecewakan saya.


Kalau ikut jalan pantai ni memang takkan terlepas dari melalui Pantai Rhu Sepuluh, Setiu atau lebih dikenali sebagai Pantai Penarik. Penarik sangat menarik. Bukan sahaja kerana pantainya yang cantik dan bersih. Tapi juga kerana ICT nya. Ikan Celup Tepung. Kami berhenti mengisi perut di sebuah gerai. Sayangnya saya tak ambil gambar. Maka terpaksa pinjam ihsan google.


Exactly the same warung yang kami singgah. Apa nama warung ni tidaklah saya ambil pot. Tapi kalau anda ke sana, boleh cari gerai ini yang terletak tepi pantai di hadapan gerai ini ketika itu sedang dibina replika berbentuk udang dan sotong yang lengkap dengan tentakel nya sekali. Saya rasa by now sudah siap replika itu.

Makanan laut celup tepung di Penarik sangat rangup dan tidak berminyak. Sama seperti seafood celup tepung yang kami makan di PCB. Semuanya tidak berminyak kerana telah ditoskan dengan baik. Saya puji bab itu. Tapi kalau makan seafood celup tepung di kawasan lain di Terengganu... Allahu.... minyak 'berladung'. Buat saya jadi mual pula. Berbeza sangat sebab rata-rata peniaga celup tepung di Terengganu tak tos minyak betul-betul. Angkat panas-panas dari kuali terus hidang. Di Kelantan mereka goreng siap-siap dan tos kan kemudian susun cantik-cantik di display kaunter. Bila customer pilih mereka akan panaskan sekejap dalam minyak yang betul-betul panas.



Gambar ihsan google juga. 
Duduk di warung boleh nampak lauk terus. Ada jalan bertar untuk laluan kenderaan. Lebih kurang macam di Taman Bandar Awam pulak. Fahmi dah merayu-rayu minta nak main layang-layang sekejap. Memang angin tengah bertiup pun tapi panas terik. Tak dapat kami tunaikan hajatnya sebab panas terik dan masih belum sampai destinasi lagi.


Kami tinggalkan Pantai Penarik selepas kenyang alas perut. Entah kenapa, bila berjalan ni perut saya mudah kenyang. Makan sikit pun dah rasa penuh sangat. Itu sebab bila bercuti saya tak perlu sangat makan nasi atau makanan berat. Cukup dengan 'snacking' saja.


Di Terengganu kami check in bilik deluxe di Hotel prinzpark. Again.
Yeah I know... so boring asyik hotel sama. Tapi apa nak buat sebab hotel-hotel lain semuanya penuh. Prima Inn pun penuh. Hotel TH kat Seberang Takir juga penuh. Primula pulak on the high side for me. Asalnya saya nak book Paddock Inn kat Terengganu Equestarian Resort saja. Murah sesangat RM80 semalam. Sesuai untuk percutian bajet kami. Tapi Paddock Inn pun kena block untuk family day PERKESO. No choice. Terpaksa guna membership premier with Prinzpark juga. Dapatlah rate yang sangat berbaloi RM140 + surcharge RM30 = RM170. Rate asal RM210. Ok ada jugak gunanya membership card yang saya beli masa kali pertama kami menginap kat sini dulu. Dulu beli membership pun sebab nak dapat penginapan percuma yang sangat berbaloi harganya berbanding kalau book under rate biasa.



Gambar recycle. Deluxe room memang gini lah rupa dia.

Kali ini kami dapat bilik kat tingkat 1. Still kena naik lif juga. Kalau nak naik tangga kena ikut emergency punya staircase kat hujung bangunan. Haizzz... Budak-budak tak kisah duduk hotel apa pun janji boleh terjun dalam swimming pool. Ye saya akui hotel ini tiada swimming pool sendiri. kena mandi kat swimming pool di clubhouse milik TER. Ramai pengunjung yang merungut. Tapi tak menjadi masalah sebab clubhouse just within walking distance je... betul-betul tercongok depan hotel. Agak kalau swimming pool dalam hotel pun korang kena menapak juga kan? Dan sebagai penginap Prinzpark kami cuma perlu ambil kupon di kaunter reception hotel untuk guna facilities clubhouse secara percuma. 

Kali ini saya ambil extra bed. RM50 tapi yang bestnya extra bed dia betul-betul berupa katil with frame semua tau. Kalau kat Ridel kami dapat tilam je. So nice the bed. Saya tidur dengan lenanya malam itu. Tak perlu keluarkan toto yang kami bawa. Hehehe...



Thursday, 18 December 2014

Cuti-Cuti Pantai Timur ~ Kota Bharu Part 4 ~ Pantai Cahaya Bulan & Maggi Ketam Rabak Poket


As I said in yesterday's post, we were supposed to leave KB after 1 night stay. Tapi kerana mr hubby masih kepenatan, maka selepas ronda-ronda muzium kami balik hotel dan baring-baring sahaja. Atau lebih tepatnya melakukan aktiviti 'recharge'. Yelah ingat handphone je ke nak ke charge energy? Kot smartphones tu ok lagi ada powerbank... ni manusia dik oiiii mana ada powerbank. 


Selesai 'recharge' dan solat Asar kami keluar. Destinasi dituju adalah Pantai Cahaya Bulan. Kawan-kawan mr hubby ada yang nasihat tak payah lah pergi PCB, dah tercemar kata mereka. Kalau nak pergi pantai carilah pantai yang kat kampung-kampung. Tapi masalahnya mereka tak nak pulak be specific by naming the beaches. Cakaplah Pantai Bisikan Bayu ke, Pantai Irama di Bachok ke, tak pun Pantai Tok Bali yang famous tu kan. Senang sikit nak tuju atau tenyeh kat waze. Dah tak kuasa nak tercari-cari, kita pergi PCB je yang tak jauh pun dari KB.


Bila orang kata PCB dah tercemar saya gambarkan pantai yang kotor atau banyak pemandangan yang kurang manis. Ohhh rupa-rupanya sebab PCB ni pantainya sudah terhakis dan terpaksa ditambak serta dibina benteng pemecah ombak atau lebih mudah saya sebut dalam bahasa mat salih nya 'breakwater'. Ini untuk mengelakkan hakisan yang lebih teruk lagi. Saya tak pasti bagaimana rupa asal pantai ini. Tapi melihatkan binaan 'breakwater' nya yang menggunakan armour rock bersaiz besar berserta unjuran breakwater ke tengah laut hampir setiap 10meter serta panjangnya breakwater ini hingga sayup mata memandang; saya rasa hakisannya tentu sangat  teruk.


Ombak juga tinggi dan ganas ketika kunjungan kami. Waktu ini banjir gelombang pertama sudahpun reda dan cuaca sangat cerah. Pun begitu, ombaknya masih tinggi dan kuat menghempas ke breakwater. Terjerit-jerit suka pengunjung yang terkena percikan air hempasan ombak. Sambil-sambil kami merenung jauh mengamati sifat ombak, sempat saya bercerita kat anak-anak sambil imbas balik pasal teknologi pembinaan breakwater hasil ilmu yang saya sedut masa bekerja dengan syarikat kejuruteraan marin dulu. Bina breakwater dan tambak laut ni memang ruji bagi kami. Fahmi kelihatannya sangat berminat dengan setiap butir bicara saya dan mr hubby.



Fahmi sangat asyik merenung ombak. Lama dia begitu dari berdiri sampai duduk. Entah apa yang dia fikirkan sampai letak tangan atas kepala. Kalau tengok gambar no.2 dari atas belah kanan tu dah macam pasangan kekasih bermasalah je huhu ;-)




My favourite pic. Suka tengok layang-layang berwarna-warni ni. Pic taken by mr hubby.

Anak-anak dah lama minta belikan layang-layang. Sejak mereka melihat orang lain bermain dengannya di Terengganu 3 tahun dulu!!! Akhirnya kini mereka mendapat apa yang mereka cita-citakan!
Angin memang kuat bertiup. Memang sesuai sangat terbangkan layang-layang. Layang-layang Fahmi berbentuk burung helang, agak unik sikit bentuknya. Dan agak payah nak dikawal bila ia terbang di langit. Sangat sukar diramal kerana ada masanya 'dia' terbang macam orang mabuk ketum!!! Tak sesuai untuk orang yang punya kesabaran tipis :-P




Another favourite pic taken by myself, of course. Cuba klik dan besarkan gambar ni. Saya suka langit dalam  gambar ni kerana ia mengingatkan saya kepada hasil lukisan cat air  - satu teknik di mana air disapu pada permukaan kertas lukisan dan cat air warna biru dicalit dengan berus sedikit demi sedikit kemudian kita pegang kertas lukisan secara menegak untuk menghasilkan corak langit dan awan yang lebih semulajadi. Satu teknik yang saya pelajari hasil pengamatan melihat seorang rakan sekelas berbangsa Tionghua bernama Liew Tze Hong melakukannya. Oh my... saya masih ingat nama dia!


Keseronokan bermain layang-layang terpaksa kami hentikan. Hari makin petang. Perut bergelora minta diisi kerana skip lunch tengahari tadi. Tak sangka saya berasa begitu lapar. Berhasil juga godaan daripada deretan warung di PCB. Goreng-gorengannya seperti melambai-lambai.



Maggi ketam perisa tom yam. Ketamnya memang besar penuh mangkuk. Tapi bersedia ajalah untuk membayar harga RM25 semangkuk. Memang terasa kena ketuk. Ini harga untuk ketam laut. Biasanya orang buat maggi ketam guna ketam nipah. Entah lah. Tapi saya difahamkan kalau makan maggi ketam di sekitar PCB atau KB memang lebih kurang RM23-25 harganya. Kalau nak maggi ketam nipah yang murah dengan ketam nipahnya 2 ekor semangkuk lebih baik cari warung di Cherang Ruku, Pasir Puteh atau sekitar Pantai Tok Bali. Jauh lebih murah dan berbaloi dengan rasanya.


Kami tinggalkan PCB setelah jam menghampiri pukul 7 petang. Sebaik menghampiri hotel, azan maghrib sudah berkumandang. Kami singgah berjemaah lagi di Masjid Muhammadiah sebelum balik ke hotel. Alhamdulillah perut sudah kenyang. Mata pun berat je. Rasa macam nak tidur awal malam ni. ;-)



Wednesday, 17 December 2014

Cuti-cuti pantai timur ~ Kota Bharu Part 3


Asal perancangan kami cuma mahu bermalam 1 malam saja di KB. Esok pagi terus check out. Jujur cakap kami pun tak tau apa yang menarik untuk dikunjungi. Nak ke Pasar Besar Siti Khadijah, saya bukanlah kaki shopping. Orang kata pergilah Rantau Panjang. Jawapannya sama, saya bukan kaki shopping. Saya tak reti nak beli apa. Lagipun takde keperluan untuk itu semua. Tapi memandangkan masa berjalan kaki balik ke hotel selepas bersolat maghrib di Masjib Muhammadiah kelmarin, kami dapati kawasan sekitar hotel ada banyak muzium dan pusat kebudayaan, maka kami decide untuk menjengah beberapa muzium. Anak-anak pun sejak sekian lama mau ke muzium. Baik muzium di KL yang tak pernah kami hairan nak bawa mereka pergi, hingga jauh nun di Kelantan ni baru mendapat hajat mereka.


Lepas bersarapan di Kopitiam Kita, balik hotel dan extend penginapan untuk 1 malam lagi. Kami empat beranak berjalan kaki je. Semua lokasi nak dituju are within walking distance. jadi tak payah nak poyo sangat naik kenderaan. Buat malu dengan tourist warga asing yang senang on foot aja.



Istana Batu @ Muzium DiRaja. 

Tiket masuk RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Ok untuk orang lain mungkin mereka kata pergi muzium "so boringggg". Saya jenis orang yang hargai dan lebih suka menghayati sejarah dan budaya tempat saya lawati maka tiada istilah "so boring" pada saya. Lagipun, it is a good lesson untuk anak-anak saya. Muzium yang asalnya merupakan istana lama ini tidak begitu besar dan tiada pengunjung pun hanya kami 4 beranak. Di sini menyimpan sejarah dan salasilah keturunan Raja-raja Kelantan dari yang pertama hingga Sultan sekarang. Agak menarik menyusuri susur galur kerabat ini. Keturunannya boleh dijejak hingga bertemu dengan Rasulullah saw.




Muzium Kraftangan berbelahan dengan Restoran Nasi Ulam Cikgu yang sangat tersohor di KB.

Saya tak masuk pun muzium ni sebab masih menjelajah sekitar kawasan berdua dengan Yaya. tapi mr hubby ada snap few pictures. sangat cantik lanskap nya.




Lanskap sekitar Muzium Kraftangan. Cantik dan mendamaikan, bukan? Saya terpesona dan teringin kalau dapat buat lanskap sebegini di banglo idaman saya suatu hari nanti mungkin? :-P




Istana Jahar @ Muzium Istiadat.



Perahu berbentuk burung Petalawati.

Saya dapati banyak sekali perahu berbentuk burung atau dihiasi kepala burung petalawati ditemui di sini. Rasanya nama burung ini hanya akan kita temui dalam hikayat-hikayat lama. Rupa-rupanya perahu-perahu bercirikan burung petalawati kebanyakannya adalah hadiah daripada kerajaan Siam. maklum, kerajaan lama Kelantan hingga hari ini mempunyai tautan yang kuat dengan kerajaan Siam.


Cantik kan ukiran pintu belakang muzium ini? Boleh saya abadikan untuk rumah idaman saya? ;-) ;-)




Sempatlah anak teruna seorang ni panjat naik atas carriage yang menghiasi pintu masuk istana. Carriage masih berkeadaan baik.


Habis melawat muzium sekitarnya kami tuju Restoran Nasi Ulam Cikgu. tapi kami decide untuk tak makan di situ kerana hidangannya tidak seperti kami jangkakan. Kami yang tersilap jangka. Ingatkan ada lah nasi ulam pesen nasi kerabu ke. Rupa-rupanya memang susunan berpuluh jenis ulam dan pencicah seluruh Malaysia yang dimakan dengan beberapa jenis lauk seperti ikan patin tempoyak, ikan goreng dan beberapa lauk ayam ringkas. Since anak-anak pun masih kenyang hasil membalun roti titab kami ambil keputusan untuk balik berehat di hotel saja. Mr hubby pun nak melepas lelah memandu semalam. Tapi sebelum itu kami singgah di Pasar Siti Khadijah untuk beli beberapa jenis kuih manis kesukaan saya. Boleh buat kudapan di bilik! ;-)




Tuesday, 16 December 2014

Cuti-Cuti Pantai Timur ~ Kota Bharu Part 2 ~ Roti Titab


Hampir kesemua hidangan di Kelantan boleh ditemui di kampung halaman saya Terengganu. Tidak banyak beza nya dari hidangan pelbagai jenis nasi hingga ke kuih muih. Tapi ada sesuatu yang tak boleh dijumpai di tempat-tempat biasa.




Roti Titab @ Kopitiam Kita


Rupanya Mr Hubby tau satu tempat yang ada kelainan hidangan sarapan pagi. Pagi hari ke 2 kami di KB, dengan bantuan waze kami temui Kopitiam Kita. Masa kami check in di Hotel Ridel pun bila ditanya kepada reception, kami disarankan pergi makan di kopitiam-kopitiam saja. Masa tu saya terangkat kening. Apa??? Datang jauh-jauh ni di suruh pergi kopitiam je? Kat KL dan Selangor pun berlambak dan bukanlah satu fenomena lagi. Tambahan lepak-lepak di kopitiam bukanlah menjadi minat saya kerana status halal hidangan di kopitiam di sebelah pantai barat dan selatan sangat meragukan. Tapi melihatkan betapa banyaknya bilangan kopitiam di KB saya rasa kegilaan makan/minum di kopitiam adalah suatu fenomena yang agak baru di sini.


Menghormati ajakan mr hubby di kopitiam Kita kami bersarapan. Kopitiam ini berbeza dari kopitiam-kopitiam di KL/Selangor. Konsepnya macam warung biasa saja tetapi sangat luar biasa luasnya dan padat pelanggan sepanjang pagi hingga jam menginjak ke pukul 11 lebih juga masih tak berhenti kunjungan. Selain dari meja dan bangku yang bercirikan etnik cina, hidangan yang ditawarkan di sini tersangatlah Melayu nya. Konsepnya menarik. Kopitiam hanya menyediakan minuman dan Roti Titab atau lain-lain roti bakar sementara hidangan sarapan pagi yang popular di Kelantan seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi tumpang, nasi lemak, makaroni bakar dan kuih muih semuanya di datangkan daripada peniaga-peniaga sekitar KB dan juga Tumpat. 





Fahmi makan 2 keping Roti Titab. Iaitu roti bakar dengan telur separuh masak berserta kaya di atasnya. Saya tak tau apa rasanya makan roti sebegitu tapi Fahmi kata sedap. Saya sebenarnya sangat tertarik dengan tekstur telur separuh masak yang sekata masak separuhnya. Bukan mudah nak dapatkan hasil sebegini. Bukan sesuatu yang boleh anda hasilkan di dapur sendiri melainkan setelah anda asah skil. ini kerana kuning telur mudah untuk menjadi keras terlebih dahulu berbanding bahagian putih telur. Anda boleh cuba di rumah tapi hasilnya tak sama dengan ini. Kerana di sini mereka rebus telur menggunakan mesin khas seperti yang boleh didapati di dapur-dapur hotel.

Pun begitu, saya sangat terpesona dengan ketangkasan seorang gadis bertudung menyiapkan roti titab ini. Dia cukup cekap bekerja, sambil bercakap pun tetap tekun dan kerjanya tak pernah culas. Saya yakin dia pasti seorang pekerja yang sangat disayangi tokey. Dek kerana terpesonanya saya melihat dia  bekerja saya terkantoi bila dia tersedar saya asyik memerhatikannya. Dia hanya melemparkan senyuman. Agaknya saya seorang saja yang jakun di situ.


Saya pernah melihat telur separuh masak sekata sebegini dalam rancangan Masterchef Australia dan My Kitchen Rules (Australia). Mereka masak guna cara konvensional di dapur. Ianya dipanggil teknik 60degrees atau 62degrees egg. Bukan mudah caranya. Boleh google mata anda akan terbuntang luas! Saya sudah cuba. Tapi bukan hasil terbaik kerana kena banyak eksperimen. Nanti saya share di entry akan datang.



Nasi Dagang KYO dari Tumpat


Saya sendiri selesa menjamah nasi dagang Kelantan dengan beras berwarna merah. Nasi Dagang KYO dari Tumpat ini tersangat sedap. Sayang sekali kuahnya sejemput saja saya terpaksa berjimat. Pagi kedua di KB saya masih pilih nasi dagang yang sama kerana nak betul-betul hadam kan kesedapannya. Cuma RM2.50 sebungkus. Cukup kenyang untuk perut saiz saya ;-)

Monday, 15 December 2014

Cuti-Cuti Pantai Timur ~ Kota Bharu Part 1


Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke negeri Cik Siti Wan Kembang selepas 22 tahun. Kali pertama masa saya berusia 14 tahun, bersama-sama rombongan keluarga besar saya dari Terengganu berkunjung ke rumah Ayahda saya di Bachok dan kemudian di bawa berjalan ke KB dalam tempoh lawatan 1 hari cuma. Apalah yang saya ingat sangat pun untuk tempoh sesingkat itu?


Kunjungan kali ini bersama mr hubby dan anak-anak. Plan asal cuma nak bercuti di Terengganu saja. Anak-anak memang cukup suka dapat makan minum ikut selera mereka serta main tepi pantai. Tapi mr hubby rasa bosan pula. Jadi saya ajak singkatkan stay di Terengganu dan lajak ke KB untuk lihat pemandangan yang berbeza. Akhirnya kami decide untuk tuju ke KB dulu, kemudian baru turun ke Terengganu. Boleh aja. Jadinya perjalanan kami kali ini akan menempuh satu laluan yang asing bagi kami. Jalan Lipis-Gua Musang untuk ke KB. Kami mulakan perjalanan dengan solat musafir 2 rakaat, moga sentiasa dilindungi Allah swt dan mengharap ada keberkatan dari kembara kami kali ini. InsyaAllah.


Alhamdulillah perjalanan lancar. Kawan-kawan mr hubby titipkan pesanan bawa bekal makanan secukupnya kerana di laluan yang kami pilih tiada perhentian melainkan bila tiba di Gua Musang cuma. Jadi kami isi perut di Petronas Genting Sempah dan beli makanan secukupnya untuk snacking time. Jalan tak berapa cantik. Benarlah apa yang dikata, pembangunan laluan masuk ke Kelantan sangat dipinggirkan. Ketibaan kami di jajahan Gua Musang disambut dengan pemandangan sebuah bukit yang ditarah teruk. Sangat mengejutkan saya kerana bukit tersebut bukan dikawasan tersorok malah di kawasan penempatan. Seolah-olah sebiji kek yang dipotong separuh! Tak sempat pula saya ambil gambar. Rakus sungguh manusia!


Dah sampai Gua Musang kami rasa lega. Ingatkan dah makin dekat, rupanya it takes another 2 hours before we reach KB. Aduhaiii penatnya kembara kali ini. Lagi penat mr driver. Dah masuk KB khidmat waze dihidupkan semula. Mencari laluan ke hotel. Tak susah mencari Hotel Ridel yang menghadap Sungai Kelantan. Bangunan hotel bercantum dengan Pelangi Mall dan bersebelahan dengan Tambatan DiRaja serta Bangunan Kastam DiRaja Malaysia. Harga bilik agak murah untuk sebuah bilik deluxe katil kelamin RM129.00 bersih dengan complimentary breakfast untuk 2 orang. Cuma bilik sangat sempit untuk kami 4 beranak. Bagusnya bilik kami menghadap Sungai Kelantan. Tak lah cantik mana. Keruh sungguh airnya. Tapi waktu malam boleh lihat aktiviti santai penduduk tempatan smabil menghirup udara malam.


Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Kami sudah solat jamak di Gua Musang tadi, maka tiba masa meronda kawasan berdekatan sambil mencari makan malam. Mr Hubby dan Fahmi teringin makan nasi kerabu Kelantan authentic. Kami diberitahu boleh jumpa nasi kerabu di pasar malam. Berbekalkan map bandar KB kami berjalan kaki melusuri Muzium Istiadat - Pasar Buluh Kubu - Pasar Siti Khadijah hingga ke pasaraya Mydin. Tak juga ketemu. Silap jalan rasanya. Tanya penjaja jalanan baru ketemu. Oh... pasar malam nya kecil amat. Tak ramai peniaga. Dan terletak di kawasan tanah lapang yang sangat kotor persekitarannya. Tapi dek kerana nak melepaskan hajat merasa nasi kerabu kami pejam mata. Cik Yaya dan saya pula cukup beralas perut dengan sate ikan.


Selesai isi perut kami berjalan pulang ke hotel mengambil laluan yang sama, Pasar Siti Khadijah - Pasar Buluh Kubu - Muzium Istiadat. Jam Hampir pukul 7.00petang. Saat menghampiri Muzium Istiadat, satu rombongan beberapa biji kenderaan diiringi motorsikal polis melintasi kami laju. serentak itu azan maghrib berkumandang. Kami kemudiannya sedar kenderaan yang melintasi kami tadi membawa Yang Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menuju ke Masjid Muhammadiah bersebelahan dengan muzium. Langsung saya ajak mr hubby dan anak-anak singgah solat maghrib di masjid aja mengenangkan bilik kami yang sempit dan perlu bergilir untuk bersolat. Alhamdulillah, kami berpeluang berjemaah bersama Sultan dan Sahibus samahah Dato' Mufti Kelantan. Rupanya malam itu ada sambutan ulangtahun penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan yang diikuti dengan solat hajat dan bacaan Yasin. Alhamdulillah.




Wednesday, 10 December 2014

Pertempuran Yaya @5th Koryo National Grand Final


Siapa kata school holiday bermaksud  holiday for mommies must be out of their mind. Yeah i agree that mommies dah tak payah nak sental baju sekolah, kasut sekolah and can strike out ironing school uniforms from their routine list. plus, you can sleep in ! But other than that, life's just as hectic as it was during school days. For me, more in fact!


The kids punya activities seems to double up. Apart from the weekly taekwondo training for both, there's the special training for Yaya every Tuesday night. Kerana dia terpilih untuk dilatih sebagai 'fighter' atau potential atlit taekwondo. Dan kerana itu juga dia diwajibkan untuk sertai mana-mana koryo tournament yang dianjurkan sepanjang tahun. This 5th Koryo National tournament bertempat di Dewan Dato' Ahmad Razali adalah installation terakhir untuk tahun ini. Yaya cheat. She deliberately hide from us the fact that dia wajib sertai pusingan pertama di Sungai Buloh dulu. Kami pun tak tau. Jadi dia missed 3 pusingan termasuk yang diadakan di Johor Bahru in October!!! Dah kena sound dengan Sir (coach) baru dia beritahu saya. So we managed to get her participate in the 4th round di Salak Tinggi in November sebelum yang terakhir ini di Ampang pada 8 Disember lalu. Setidak-tidaknya dia sempat mengutip pengalaman tahun ini.


Ini pengalaman baru buat saya. Saya tak pernah lihat perlawanan taekwondo secara langsung. Jadi saya tak tau apa nak dijangka. Yang pasti saya sungguh tak jangka akan merasa debaran tak terhingga saat kali pertama mengiringi anak masuk gelanggang. Saya mengaku saya rasa lya, mual, butterflies ke berudu ke macam-macam berenang-renang dalam perut. Migrain sudah tentu as my anxiety kicked in. 


Sejujurnya saya tak idamkan anak menjadi atlet taekwondo. Melainkan mengharapkan latihan dan perlawanan yang disertai Yaya dapat membentuk jatidiri yang kuat. Sebagai seorang yang datang dari keluarga ahli sukan saya sangat menyokong penglibatannya. Tapi saya juga mengaku, terkejip-kejip mata melihat anak-anak ini 'bertempur' di gelanggang. Garang dan ganas. Nasiblah kena sepak di kepala kerana point tinggi di situ. Nasib juga kalau sepakan tak mengena, tersasar ke muka sakit jawabnya. Jatuh sendiri itu biasa. Jatuh terhempap atau terpijak dah tentu dua kali ganda sakitnya. Menangis keluar gelanggang tak semestinya bererti kalah. Tak kurang yang menangis itu pemenang sebenarnya. Bukan airmata gembira. Tapi airmata sengsara menahan sakit selepas bersiri-siri tempur dalam gelanggang tadi akhirnya terhambur keluar juga. 


Saya juga belajar. Jangan underestimate lawan yang bertubuh kecil atau lebih rendah dari kita. Jangan juga sangka yang berwajah comel manis ayu itu tumpul taringnya. Kerana saya beberapa kali terkena 'renjatan elektrik' melihat anak-anak gadis comel loteh tahap rasa nak buat menantu tapi bila masuk gelanggang habis kepala lawan selamba dicangkuknya dengan hujung kaki. Ini bukan calon menantu. Jadi kuih lepat anak aku! Kihkihkih.




Saya menggigil pegang kamera ambil gambar Yaya serta rakam video. Daddy tak dapat ikut kerana tuntutan kerja. Rakaman video untuk Daddy. tapi sukarnya merakam sambil bersorak pada anak. Getir.


Tapi saya salute anak-anak ini. Habis lawan berpeluk dan saling bertanya khabar "awak ok ke?". Semangat juang mereka tinggi (bagi yang meneruskan). Saya mengharapkan proses yang dilalui ini juga akan membentuk semangat juang yang tinggi pada anak perempuan saya. Baik di dalam, mahupun diluar gelanggang terutamanya. Kerana hidup ini satu perjuangan. Dia belum melakar kemenangan dalam percubaannya yang masuk kali kedua ini. Pergerakannya masih 'mentah'. She still has a long way to go.


Barangkali Yaya mungkin merasakan dia yang penat dan tertekan kerana terpaksa melalui pengalaman ini. Dia enggan sebenarnya. Dia takut. Tapi saya gembira dia turut serta juga akhirnya. Kerana apa yang dilaluinya ini banyak pengajaran yang saya kutip. Pengalaman dia, pengajaran buat saya.


Pada saya, Menang bukan kerana lawan kita kalah. Tapi menang kerana kita berjaya menjadi yang terbaik dikalangan mereka yang hebat-hebat belaka.

Friday, 5 December 2014

Nasi Tomato Arab ala Zam Zam


Kalau nak makan masakan Arab kami suka ke Restoran Zam Zam di Oasis, Seksyen 9 Shah Alam. Dalam banyak-banyak restoran masakan Arab yang pernah kami kunjungi, kami dapati hidangan Arab di sini adalah antara yang paling sedap dan cukup dengan rasa Arab nya serta paling murah. Setalam hidangan 1/2 kilogram chicken atau lamb madghut (hidangan kegemaran kami) bersama nasi tomato versi Arab nya cuma berharga RM20. Dan ianya boleh dikongsi oleh 3 orang pemakan nasi (1 dewasa dan 2 kanak-kanak) atau 2 orang lelaki dewasa!!! Bermakna seorang kosnya cuma RM6.50 (dikongsi 3) atau RM10 (dikongsi 2) sahaja! Murah bukan? Sebab itu Restoran Zam Zam jadi pilihan utama kami. Selain tarikan baklava nya yang sedap itu ;-).


Namun, nak pergi selalu (setiap kali rasa teringin itu datang) tak mungkin lah. Segan kot dengan tokey dan waiter nya... macam kat dahi dah ada cop 'Zam Zam fan-a-tic' gitu. Jadi saya berusahalah membuatnya sendiri. Walau tiada resipi ditangan. Again, segan kot nak minta resipi dengan orang meniaga ni. Rasa macam tak sesuai sangat. Orang cari makan dengan resipi tu kita sedap-sedap nak ushar.


Untuk nasi nya saya menggunakan resipi asas nasi arab. Perbezaannya saya tambahkan buah tomato dalam tin. Bukan puri ye puan-puan. Dan juga air rendaman secubit saffron atau za'faran yang saya rendam selama 6 jam. Sebab itu warna nasinya kuning kejinggaan dan bukan merah pucat sebagaimana warna nasi tomato umumnya. 




Ayam Madghut adalah ayam yang dimasak secara pressure cooked. Jangan pelik tengok paha ayam saya kurus keding. Saya guna ayam kampung @ organik. Dah tak kuasa nak makan ayam cucuk hormon ni. Very health concious sekarang ni (konon). Dulu masa anak-anak kecil memang kami makan ayam organik saja. Tapi bila lama-lama susah sikit nak dapat bekalan, beralih balik makan ayam cucuk hormon. Sekarang insaf balik. Moga berterusan istiqamah menyediakan makanan yang lebih sihat untuk keluarga. Amin.


Resipi Persediaan Ayam Madghut


1 ekor ayam kampung/organik potong 4 (diperap dengan serbuk kunyit)
5 cawan air
2 helai daun salam
2 biji bawang besar belah 4
1 batang kulit kayu manis
bunga lawang
lada hitam
garam

*tambahan - setengah biji lobak merah & ubi kentang potong dadu

Cara-cara:
Rebus semua bahan hingga ayam empuk. Air rebusan disimpan untuk masak nasi.






Cara Penyediaan Nasi Saffron Tomato


2 cawan beras basmathi (gaul dengan serbuk kayu manis/serbuk ketumbar/serbuk buah pala)
2 biji bawang merah cincang
1 tin tomato cincang (dengan kuahnya sekali)
1 sudu besar serbuk kayu manis
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk buah pala
5 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
2 cawan air rebusan
1 cawan air rendaman saffron
garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Tumis bawang dan rempah tumisan dengan 2 sudu mentega dan 1 senduk minyak hingga layu.
3. Masukkan beras yang sudah digaul dengan semua jenis rempah serbuk. Kacau hingga mesra dan biarkan sekejap.
4. Masukkan tomato cincang. Gaul sebati.
5. Bila agak kering masukkan air rendaman saffron dan air rebusan ayam bersama lobak merah dan ubi kentang didalamnya. Masukkan garam. Biarkan merenih dengan api sederhana.
6. Bila air sudah separuh kering, perlahan kan api. Susun ayam yang siap direbus di atasnya dan tutup periuk dengan aluminium foil. Kemudian tutup dengan tutup periuk dan biar hingga nasi masak sempurna.
7. Boleh hias dengan taburan badam keping yang digoreng dan daun pudina.


Saya juga hidangkan nasi dengan sambal tomato Arab serta sup daripada rebusan ayam tadi. Maklumlah orang Melayu tercekik kalau makan kering tak berkuah. Nasi ni sebenarnya jenis moist. Makan tanpa kuah pun sudah cukup. Tambahan ia telah diperisakan dengan tomato, saffron dan rempah ratus dengan sempurna. Tak perlu apa-apa condiments. Melainkan bagi yang suka pedas sikit makanlah dengan sambal tomato yang dikisar dengan cili api tu ye.









Wednesday, 3 December 2014

Cendawan Kukur @ Kulat Sisir Masak Lomak Cili Api N9


Sebagai seorang yang dibesarkan di Negeri Sembilan selama hampir suku abad, sudah tentu selera saya sedikit sebanyak dipengaruhi gaya masakan orang N9. Malah masakan Minang yang sudah sinonim dalam masyarakat nogori, merupakan masakan yang sangat cocok dengan selera saya. Sungguhpun masa kecil dulu (hingga kini) saya kurang gemar makan pedas, tapi kalau disuakan sambal balado memang saya tak tolak. Kecur liur dan bangkit selera. Kalau makan nasi panas berlaukkan sambal balado pun cukup. 


Kali ini bukan nak cerita pasal sambal balado. Yang itu dah buat dalam entry lepas. Kali ni nak share hidangan masak lomak cili api gaya N9. Sungguhpun lahir sebagai anak pantai timur dan membesar dengan hidangan yang dimasak oleh Ma saya yang juga anak jati pantai timur, tapi kalau bab masak lemak kuning ni sudah semestinya resipi masak lomak cili api N9 yang kami hidangkan. Nak buat masak lomak cili api bukan susah. Dah namo eh pun masak lomak cili api. Bahan-bahan asas eh cuma cili api, kunyit hidup, serai dan santan. Habih cito! Sonang kan? Tapi ghaso eh... fuhhh marvelous.


Selasa lepas saya dan mr hubby ke pasar seksyen 6, Shah Alam. Misi 'stock up' Double Choco Brounies kami. Pergi pun dah petang. Tapi pasar masih 'hidup' kerana ada pasar malam di situ. Ronda punya ronda jumpa cendawan kukur @ kulat sisir. Saya tak pernah masak. Makan pernah... tweet! Bukan makan tapi colek sikit rasa hasil masakan jiran saya di berek polis dulu. itupun mak cik tu buat goreng kering. Mr Hubby pandai lah makan cendawan kukur ni. Maklumlah dia orang kampung yang tak lebih kampung dari saya ;-). Dia teringin nak makan. Saya sanggup aja masakkan. Sesekali masak style kampung kecur selera.






Daging batang pinang salai tempohari ada berbaki. Saya salai sendiri je. Maka saya gandingkan dengan cendawan kukur. Niat asal nak beli pisang muda. Tapi takde dijual. Ganding dengan daging salai pun sedap juga sungguhpun tak pernah dibuat dek orang. takpe kita buat dia, bukan dia buat kita.




Gini rupa cendawan kukur yang dah siap saya rendam, basuh, buang kulit-kulit kayu dan segala kotoran. Kemudia perah dan toskan airnya. Macam rupa tanduk rusa pun ada kan. Comel kan?

Resipi Cendawan Kukur Masak Lomak Cili Api Nismilan (N9)


15 biji cili api kampung
2 inci kunyit hidup
2 batang serai dititik
1 helai daun kunyit
300gm daging salai dihiris nipis
2 keping asam gelugor (kering)
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
garam secukup rasa


Cara-cara:

1. Tumbuk lumat cili api dan kunyit hidup.
2. Dalam periuk renihkan santan cair bersama cili api tumbuk, serai, daun kunyit dan asam gelugor.
3. Bila mendidih masukkan daging salai dan cendawan yang dah dibersihkan. Biar merenih dengan api perlahan.
4. Masukkan santan pekat dan garam. Biar merenih dalam 5-10 minit lagi. Bolehlah dihidangkan. Lebih sedap kalau biarkan sejam dua supaya perisanya mesra.



Dah siap masak saya tak jamah dulu. Tunggu nak makan sesama dengan mr hubby malam nanti. Phewww penat tahan selera. Geram jer.



Makan dengan nasi panas, MasyaAllah nikmat nyaaaa!!!!
Musim-musim hujan ni kan cendawan kukur memang mudah didapati. Sebab ia hidup dibatang-batang pokok dan pokok mati. Sepeket dijual pada harga RM5. Pergilah cari. Konfem ohsem!!!