Friday 30 August 2013

Lemang Kukus, Rendang Ayam Berempah


Saja lepas gian teringin buat lemang sendiri. Tapi sungguh saya memang teringin benar nak bakar lemang gaya tradisional, yang dalam buluh tu. Teringin nak merasa cara-cara buat lemang sebenar. Teringin nak jaga api. Padahal bau asap orang membakar lemang sikit pun tak tahan... ha ha ha. Tapi setakat tinggal teringin jelah. Nak membakar lemang di rumah mak saya, tanah dah habis disimen letak jubin segala. Kau jangan buat pasal hitam jubin kudaputih abah tu nanti. Nak ajak membakar lemang kat rumah mentua, kau jangan nak macam-macam. Merasa sekali merendang daging 5kg pun kau trauma, tiap kali Syawal kau demam parkinson. Te he he...
Melemang lah kat rumah sendiri ye! 





Buat lemang kukus ni rumitnya kurang banyak lah dari bakar lemang sebenar. Tapi tetap banyak prosesnya. Kukus je dulu pulut macam biasa tapi biar 3/4 masak. Saya suka guna pulut susu, ia lebih berlemak dan mudah lembut. Hasilnya anda akan dapat lemang yang padat dan sedap.


Bila pulut dah 3/4 masak kita sediakan aluminium foil yang dialas dengan sehelai daun pisang muda yang sudah dilayur. Pulut yang 3/4 masak tadi saya gaulkan dengan sedikit santan yang sedia masin - ini untuk mudahkan proses memasak seterusnya, kalau tak nak letak pun takpe. Kemudian letakkan pulut di atasnya dan balut kemas-kemas membentuk seperti roll. Saya selalunya lipat satu hujung foil, kemudian tegakkan lemang dan hentak-hentak sedikit bagi lemang padat kemudian baru lipat hujung foil satu lagi. Bila dah siap membungkus, panaskan air dalam periuk kukus dan bolehlah kukus semula sehingga betul-betul masak.


Sementara lemang siap dikukus, panaskan oven ke 180 darjah. Setelah keluarkan lemang dari periuk kukus terus pindahkan ke dalam oven selama 20-30minit. tujuannya untuk keringkan lemang dan beri effect sedikit garing di tepi-tepi lemang. Biar sejuk dulu baru potong. Kalau potong tengah panas alamat lemang penyek dowh... baik buat pulut impit je terus!




Makan lemang mesti ada rendang kan? Saya lepaskan hajat cik Yaya yang teringin nak makan rendang ayam. Saya buat 1/2 ekor ayam saja. Cukuplah bukannya ramai pun orang dalam rumah ni. Rendang saya guna resipi campak-campak. Tapi mesti letak ketumbar dan jintan manis serta jintan halus yang disangai dan kisar halus. Itu rempah penyedap yang wajib saya guna bila buat rendang. Sebab buat rendang main campak-campak jadi bila nak tulis resipi terasa payah. Sebenarnya pada saya buat rendang ni takde lah rigid sangat undang-undang dia. Wahhh siap pakai undang-undang you! Bahan asas seperti bawang, serai, cili dan santan. Lain-lain seperti halia, lengkuas, kunyit, kerisik dan lain-lain rempah tu boleh tambah tolak darab bahagi ikut suka. Sebab kalau tengok resipi yang bertebaran di majalah atau internet ada pelbagai versi rendang. Ada orang letak lengkuas, ada yang tidak. Tapi bawang, serai, cili dan santan wajib ada. Lain-lain tu ikut kaedah masing-masing.


Rendang Ayam Berempah kaedah saya:

1/2 ekor ayam
7 biji bawang merah - kisar
3 biji bawang putih - kisar
5 batang serai dihiris putihnya saja - kisar
10 tangkai cili kering - rebus/rendam air panas - kisar
1 inci halia - kisar
1 inci lengkuas - kisar
1 inci kunyit - kisar
2 keping asam gelugor
kulit kayu manis, bunga lawang & buah pelaga
1 sudu besar ketumbar - sangai dan kisar halus
1 sudu besar jintan manis - sangai dan kisar halus
1 sudu kecil jintan halus - sangai dan kisar halus
2 cawan santan/ 2x200ml santan kotak
1 helai daun kunyit - hiris halus
3 helai daun limau purut - koyak2 je
3 sudu besar gula melaka diracik
garam


Panaskan sedikit minyak untuk menumis. Tumis kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Masukkan bahan-bahan kisar kecuali rempah kering. Tumis hingga naik bau kemudian masukkan rempah kering dan gaul rata. Masukkan ayam yang dah dibersihkan berserta santan, sedikit garam dan asam gelugor. Biarkan merenih hingga ayam empuk dan kuahnya separuh kering. Tambahkan garam jika perlu dan gula melaka. Masukkan juga daun kunyit serta daun limau purut. Bila kuah rendang 3/4 kering dan cantik pecah minyak bolehlah padamkan api. Kalau mau kering lagi boleh teruskan hingga tercapai hajat di hati... (*_^). Saya suka rendang ayam yang agak basah. Kalau suka boleh tambah kerisik masa letak gula melaka tadi. Saya kalau ada kerisik saya guna, kalau takde tak jadi hal.


Seperkara lagi, bila buat rendang ayam saya gemar goreng dulu ayam tu separuh masak. Tujuannya supaya isi ayam tak mudah hancur kalau terlama sangat masak. Pada saya dapat juga elakkan rendang ayam saya daripada cepat basi. Tapi kalau ayam dah digoreng separuh masak, kita renihkan santan bersama bahan tumisan hingga separuh pekat baru masukkan ayam ye. Kalau masukkan ayam dari awal alamat lunyai ayam tu. 


Ada macam-macam kaedah masak rendang ni. Ada kaedah yang tak perlu tumis dan tak pakai minyak pun. Cuma dump everything sekaligus dalam kuali dan biarkan sampai masak. Dah tak payah pening-pening nak fikir eh lepas ni letak apa? 
Entah ikutlah selera dan kaedah masing-masing. Janji rasa rendang. 
Kalau masak rendang terasa mee bandung tu memang benda ajaib. Meh sini ahkak pun nak gak try resipi tu... ;-)