Wednesday 3 December 2014

Cendawan Kukur @ Kulat Sisir Masak Lomak Cili Api N9


Sebagai seorang yang dibesarkan di Negeri Sembilan selama hampir suku abad, sudah tentu selera saya sedikit sebanyak dipengaruhi gaya masakan orang N9. Malah masakan Minang yang sudah sinonim dalam masyarakat nogori, merupakan masakan yang sangat cocok dengan selera saya. Sungguhpun masa kecil dulu (hingga kini) saya kurang gemar makan pedas, tapi kalau disuakan sambal balado memang saya tak tolak. Kecur liur dan bangkit selera. Kalau makan nasi panas berlaukkan sambal balado pun cukup. 


Kali ini bukan nak cerita pasal sambal balado. Yang itu dah buat dalam entry lepas. Kali ni nak share hidangan masak lomak cili api gaya N9. Sungguhpun lahir sebagai anak pantai timur dan membesar dengan hidangan yang dimasak oleh Ma saya yang juga anak jati pantai timur, tapi kalau bab masak lemak kuning ni sudah semestinya resipi masak lomak cili api N9 yang kami hidangkan. Nak buat masak lomak cili api bukan susah. Dah namo eh pun masak lomak cili api. Bahan-bahan asas eh cuma cili api, kunyit hidup, serai dan santan. Habih cito! Sonang kan? Tapi ghaso eh... fuhhh marvelous.


Selasa lepas saya dan mr hubby ke pasar seksyen 6, Shah Alam. Misi 'stock up' Double Choco Brounies kami. Pergi pun dah petang. Tapi pasar masih 'hidup' kerana ada pasar malam di situ. Ronda punya ronda jumpa cendawan kukur @ kulat sisir. Saya tak pernah masak. Makan pernah... tweet! Bukan makan tapi colek sikit rasa hasil masakan jiran saya di berek polis dulu. itupun mak cik tu buat goreng kering. Mr Hubby pandai lah makan cendawan kukur ni. Maklumlah dia orang kampung yang tak lebih kampung dari saya ;-). Dia teringin nak makan. Saya sanggup aja masakkan. Sesekali masak style kampung kecur selera.






Daging batang pinang salai tempohari ada berbaki. Saya salai sendiri je. Maka saya gandingkan dengan cendawan kukur. Niat asal nak beli pisang muda. Tapi takde dijual. Ganding dengan daging salai pun sedap juga sungguhpun tak pernah dibuat dek orang. takpe kita buat dia, bukan dia buat kita.




Gini rupa cendawan kukur yang dah siap saya rendam, basuh, buang kulit-kulit kayu dan segala kotoran. Kemudia perah dan toskan airnya. Macam rupa tanduk rusa pun ada kan. Comel kan?

Resipi Cendawan Kukur Masak Lomak Cili Api Nismilan (N9)


15 biji cili api kampung
2 inci kunyit hidup
2 batang serai dititik
1 helai daun kunyit
300gm daging salai dihiris nipis
2 keping asam gelugor (kering)
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
garam secukup rasa


Cara-cara:

1. Tumbuk lumat cili api dan kunyit hidup.
2. Dalam periuk renihkan santan cair bersama cili api tumbuk, serai, daun kunyit dan asam gelugor.
3. Bila mendidih masukkan daging salai dan cendawan yang dah dibersihkan. Biar merenih dengan api perlahan.
4. Masukkan santan pekat dan garam. Biar merenih dalam 5-10 minit lagi. Bolehlah dihidangkan. Lebih sedap kalau biarkan sejam dua supaya perisanya mesra.



Dah siap masak saya tak jamah dulu. Tunggu nak makan sesama dengan mr hubby malam nanti. Phewww penat tahan selera. Geram jer.



Makan dengan nasi panas, MasyaAllah nikmat nyaaaa!!!!
Musim-musim hujan ni kan cendawan kukur memang mudah didapati. Sebab ia hidup dibatang-batang pokok dan pokok mati. Sepeket dijual pada harga RM5. Pergilah cari. Konfem ohsem!!!