Friday 18 July 2014

20 Ramadan 1435H - Ironi Kuih Lopes dan RescueSyria ... Peduli Ummah




Bila buat kuih lopes ni terus tukang masak naik taraf kepada Mama yang baik hati. Ada ke patut cik Yaya cakap, “Mama ni kenapa hari ni Mama baik sangat?” … Err apa selama ni tak berapa nak baik lah ye? “Bukan tak baik…” cehhh start lah tu nak cover kekantoian. “… tapi Mama siap buat kuih semua. Mama ni baik hati lah” Emmm kerana kau kuih lopes aku dapat pujian.



Ye betullah tu. Mood nak buat sepah dan berkemas ada up sikit. Malas sekarang ni nak buat sepah, bukan ada orang tolong kemas. Dulu-dulu suka hati kau lah nak berkubang kat dapur tu. Siap berkubang siapkan juadah iftar terus naik atas mandi. Siap mandi turun bawah tengok dapur dah bersih. Magik. Hahah magik berbayar. Dulu kan ada maid.


Nak buat kuih lopes ni banyak hari dah. Tapi bila buka pantry tengok beras pulut dah buruk. Alahaiii zaman dinosaur punya ke apa saya pun dah tak ingat bila last guna pulut dalam hidangan huhu. Jadi tertangguhlah. Hubby balik kerja bawa balik beras pulut. Malam sebelum tidur saya basuh beras dan rendam dengan air serta pewarna hijau. Tertuang pulak 1 penutup penuh. 1 cawan beras pulut dengan 1 penutup penuh pewarna hijau... ambik ko... sikit lagi nak serupa Shrek hijau dia.


Waktu iftar bukan main lah cik Yaya dan Fahmi mengerjakan kuih lopes. Excitednya depa macam tak pernah makan. Padahal almost everyday dia pesan kat daddy suruh beli kuih lopes. Tapi kali ni sebab "Mama yang baik hati" buat maka kerterujaan tu lebih sikit lah. Sambil makan sambil mengomen. Siap tanya mana Mama tau nak buat kuah dia? Aiii sentap mak kejap. Ada patut dia meragui kemampuan mak dia pulak. Tak tau ke mak dia ni google bergerak. Lagipun buat kuah lopes tu bukan susah pun. Gula nesan banyak lagi kau racik jelah pastu letak gula putih sikit dan air. Cairkan. Nak bagi dia likat sikit bancuh tepung gandum dengan air dan curahkan. Jangan letak tepung jagung pulak kan jadi kanji. Terus jatuh balik taraf kepada mak yang tak reti masak, haru huhuhu.


SEDANG KITA MERASA NIKMAT BERBUKA DAN BERSAHUR


Tapi saya cakap kat anak-anak. Bersyukurlah merasa makan macam-macam ikut kehendak hati. Tak mampu buat mampu beli. Kalau ingat-ingat balik tayang video kesengsaraan di Syria oleh MAPIM di surau malam tadi memang rasa tak lalu nak makan. Serius cakap. Video-video yang ditunjukkan memang tak pernah dan tak mungkin dapat dilihat melalui media-media lain. Punya azab, punya pedih terasa sengsaranya mereka tak sama rasa menatap gambar-gambar dan video yang di share di fb. Kami difahamkan memang keadaan di Syria lebih ‘tertutup’ berbanding di Negara-negara lain yang mana umat Islam ditindas. Tiada coverage media dibenarkan di Syria. Footage yang kami tonton pun adalah ekslusif hasil daripada lawatan wakil NGO MAPIM, Tuan Haji Abdul Aziz ke sana. Belum pernah disiarkan di mana-mana hatta di fb MAPIM sendiri tiada. Ada beberapa jemaah lelaki yang kelihatan membuat rakaman di smartphone mereka. Untunglah ada handphone canggih kalau handphone cikai macam saya ni apa je yang nampak? Kalaupun saya ada handphone canggih sedikit tak mungkin saya tergamak nak rakam semula. Menonton pun rasa mual.


KEBULURAN HINGGA KANAK-KANAK MENYUSU DENGAN ANJING!


Saya tau mereka berperang. Tapi saya sama sekali tidak menyangka rejim Basyar tergamak mengepung rakyatnya sendiri selama lebih 230hari sehingga mereka terputus bekalan makanan, air dan sebagainya sehingga penduduk di sebuah daerah bernama Hama kering tinggal tulang. Anak-anak kecil terbaring tak berdaya bangun. Umpama rangka bergerak! Dan paling menyayat hati melihat kanak-kanak yang kehausan dan kehilangan punca air beralih menyusu dengan anjing!!! Allahurabbi... ampunkan lah dosa ku. Saya hanya mampu tertunduk menangis!!! Melihat gambar-gambar kesengsaraan mereka pun saya tidak sanggup. Apatah lagi mendengar audio desahan nafas akhir seorang bayi yang terkena bom kimia. Saya cepat tekup tangan ke telinga cik Yaya. Tak sanggup bimbang dia trauma. Tapi rupanya dia lebih kuat dari saya. Saya pula yang trauma tak dapat lelap mata.



TALI-TALI BERJUNTAIAN DI SILING MASJID


Justeru, sambil-sambil bercakap pasal makanan ni yang kebetulan berwarna hijau sama pulak dengan logo MAPIM warna hijau juga, saya ingin menyeru anda semua atas dasar kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat Syria yang teruk terjejas dan tertindas dek kekejaman pimpinan rejim Basyar. Saya melihat satu gambar di mana tali-tali berjuntaian dari siling masjid. Itulah tali-tali yang digunakan untuk mengikat wanita-wanita Syria dan di rogol dengan kejam sehingga mati. Fikirkan, bagaimana mampu saya nak lelap mata selepas melihat semua itu?


Terus terang saya katakan, kerakusan rejim Basyar melakukan pembunuhan setiap hari, menjatuhkan bom barrel bertubi-tubi di penempatan awam, menembak curi (sniper) rakyatnya sendiri, merogol wanita-wanita di dalam masjid, mengepung rakyatnya berterusan tanpa bekalan makanan adalah satu bentuk kezaliman yang maha dahsyat dan lebih teruk daripada Zionis Israel. Saya simpulkan kekejaman rejim Basyar menghancurkan negaranya sendiri mengingatkan saya kepada genocide (penghapusan etnik) yang pernah berlaku ke atas penduduk Bosnia pada tahun 1992 dulu. Sungguh mengerikan. Sangat menyayat hati. Saya mohon hulurkanlah bantuan. Silalah ke web MAPIM ada info no akaun bank untuk bantuan kecemasan Syria. Jemputlah jangan malu-malu.

HArta kita yang sebenar-benar milik kita adalah harta yang kita infakkan. Inilah saham akhirat kita semua.