Wednesday 19 November 2014

Hari Kecemerlangan


Minggu ini di FB rata-rata rakan-rakan sibuk meng'update' status berkisar hari kecemerlangan anak masing-masing. Alhamdulillah, saya tumpang gembira berada di kalangan rakan-rakan yang mempunyai anak-anak yang cemerlang. Moga terus konsisten di masa akan datang. Seronok sebenarnya melihat anak-anak sendiri dan anak rakan-rakan membesar. Suatu ketika dulu ketika anak-anak ini masih kecil mereka pernah bersama dalam satu playgroup. Dihubungkan kerana ibu masing-masing berkongsi rasa dan pendapat dalam satu platform forum. Kini, bila komitmen dan masa tidak mengizinkan lagi hanya FB tempat kami mengikuti perkembangan masing-masing. Dan sejujurnya saya gembira, semuanya berkeadaan baik. Alhamdulillah.


Saya memilih untuk tidak meng'update' sebarang status tentang hari kecemerlangan anak-anak saya di FB. Tidak pernah sebelum ini pun. Saya kurang selesa. Kecuali di ruangan blog ini saja. Entah kenapa blog ini sungguhpun tidak di 'private' kan dan sesiapa saja boleh masuk menjengah menerjah, terasa lebih privasi untuk saya. Mungkin kerana tidak ramai yang masuk ke sini. Atau kerana tak ramai yang mengenali saya di sini.


Alhamdulillah. Saya juga berpeluang menemani anak-anak di hari kecemerlangan mereka. Semalam baru berlalu hari kecemerlangan di sekolah rendah anak-anak saya. Cik Yaya naik pentas. Ada peningkatan dari segi kedudukan dalam kelas dan kedudukan keseluruhan dalam darjah 3. Naik ke no.2. Tahniah buat dia. Dulu dari tiada nombor, beralih ke no.3 di tahun 2. Ye, memang satu peningkatan. Moga terus meningkat dan konsisten. Cabaran tahun 4 sangat berbeza. Saya sudah merasainya bersama Fahmi. Perbezaannya sangat ketara. Kalau tidak bersedia akibatnya ramai yang kecewa. Fahmi telah melalui kekecewaan itu. Dan saya juga sangat merasai betapa kecewanya dia. Tak sampai hati melihat hati nya patah. Kerana dia bermula dengan begitu cemerlang sekali dan membawa kami ke hari kecemerlangan setiap tahun. Tahun ini bukan tahun dia. Moga Allah beri kesembuhan hati buatnya.


Hidup umpama roda. Kalau tidak jatuh takkan merasa naik. Kalau tidak merasa pahit hidup jadi hambar. Semuanya teladan dan pengajaran. Kan hidup tak berhenti belajar?


Jumaat ini hari kecemerlangan sekolah agama pula. Penutup untuk tahun ini. Alhamdulillah, saya bersyukur.

No comments: