Monday 7 January 2013

Beef Massaman: Tom Yum Meets Curry in A Bowl

Bermula dengan takde idea nak masak apa semalam, how I wish ada periuk ajaib di dapur. Biar periuk je yang masak apa yang keluar kita makan, I tak payah perah otak fikir nak masak apa. Berangan lah lagi.


Daripada tak tau nak masak apa berakhir dengan Beef Massaman Curry. Sejenis kari yang terkenal di kalangan masyarakat Islam Thai. Aikkk bila pulak belajar masakan Thai ni? Hehehe... tak yah susah-susah belajar, pakai je pes dalam botol. Cehhhhh... ala-ala periuk ajaib juga gini. Cuma yang ini botol ajaib. Ha ha ha...




CNN dubbed this curry as one of the most delicious food in the world. Duduk ditangga ke 10 dalam raking yang diumumkan tahun 2011. Wow! Tapi kalau dah merasa kari ini memang betul-betul WOW lah.  Pendapat peribadi saya Massaman curry ini adalah seumpama kombinasi tom yam dan kari di dalam satu mangkuk. Dikatakan  pengaruh Arab pada zaman dahulu sangat kuat hingga terhasilnya kari ini. Kombinasi  unsur-unsur hidangan tom yum seperti cili, halia, lengkuas, serai, daun limau purut, udang kering atau belacan yang digiling berserta sos ikan kemudian diadun dengan rempah ratus yang dibawa masuk oleh pedagang arab seperti bunga lawang, kayu manis, buah pelaga, jintan, cengkih yang kesemua ditumbuk atau dikisar lumat menjadi pes massaman.




Rasa kari ini? Boleh bayangkan tomyam bersantan dan berempah? Atau senang cakap ikut tekak saya rasanya seperti kuah kurma yang masam-masam sikit dan manis sedikit. Sos ikan wajib letak. Ia memberi rasa yang unik pada kari ini. Oh... kalau yang suka pedas elok tambah cili ye sebab kari massaman ni tak pedas.


Semalam juga saya bereksperimentasi dengan grain feed meat yang saya beli minggu lepas. Memang sedap dan lembut dagingnya. Sebelum dikarikan saya perap dulu daging dengan pes massaman.




Nampak kat tepi tu botol pes massaman? Beli kat Jaya Grocer. Boleh tahan mahal sebotol 110gm. Tapi sangat berbaloi sebab sedap hasilnya. Malah boleh digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Boleh dijadikan rempah untuk goreng ayam juga. Tapi saya marinate terlebih dahulu ayam yang nak digoreng dengan rempah massaman ni dan tambah halia tumbuk. Kemudian gaul sedikit tepung sebaik sebelum digoreng supaya rempahnya elok melekat pada ayam. 


Saya teringin nak buat massaman yang diadun sendiri rempahnya macam pasangan Jenny dalam My Kitchen Rules tahun lepas. Tapi tersangatlah banyak kerja. Jadi saya KIV dulu resipi dia dan cuba pes segera.

Nak cuba Massaman Curry? Jom kita semak resipi portion kecil untuk 3 orang makan.

Bahan A
300gm daging batang pinang
4 sudu besar pes Massaman - saya guna jenama Epicurion
1 inci halia
2 ulas bawang putih


Tumbuk lumat halia dan bawang putih dan campur dengan 2 sudu besar pes massaman dan gaulkan bersama daging. Perap sebentar sementara siapkan bahan-bahan lain.


Bahan B
1 biji bawang besar dihiris halus
1 batang kayu manis
1 biji bunga lawang
4 biji buah pelaga diketuk supaya terbit aroma


Bahan C
1 biji ubi ketang dipotong 6
1 cawan santan cair
1 cawan santan pekat - boleh ganti dengan susu cair
1 cawan stok (air rebusan) atau boleh ganti dengan 1/2 kiub stok daging
1 sudu besar asam jawa - campur dengan 1/2 cawan air dijadikan jus
1 sudu besar perahan limau nipis atau lemon
1 sudu kecil gula melaka diracik
1 sudu kecil garam (boleh dikurangkan)
segenggam daun selasih (petik dalam pasu) atau boleh ganti daun ketumbar


Tumis bahan B hingga terbit bau. Masukkan daging yang diperap dan tambah baki 2 sudu besar pes massaman. Renihkan seketika biar kering air. Masukkan garam 1/2 sudu dulu - saya ikut style mak mentua masak bubuh garam dahulu bukan akhir sekali. Masukkan ubi kentang dan air rebusan bersekali dengan santan cair. Biarkan merenih hingga daging dan ubi kentang 3/4 empuk.

Bila daging dan ubi kentang empuk masukkan santan pekat. Kemudian air asam jawa, gula melaka dan baki garam jika perlu. Sukatan garam bergantung kepada jenis stok yang digunakan. Kalau air rebusan boleh tambah garam, kalau guna kiub stok tu boleh kurangkan garam sebab kiub dah masin. Bila kuah hampir pekat masukkan jus limau/lemon dan daun selasih. Biar pekat dan boleh dihidangkan.





Saya kalau ada kari mesti ada Roti Puri. Roti puri kali ini istimewa sikit sebab saya letak kelapa parut dalam doh roti. Lembut dan lemak tapi tidak keterlaluan. Janganlah letak sebiji kelapa... setakat 2-3 sudu besar saja.


Nak kongsi amalan pemakanan sihat seperti yang disarankan oleh pengamal perubatan Islam Prof. Ustaz Haji Idris Haji Ibrahim seorang penerima Anugerah Guru Cemerlang tahun 2000 dan Tokoh Guru tahun 2010. Bila usia menginjak ke 40 tahun elakkan makan nasi waktu malam tapi digantikan dengan roti (gandum). Nak makan nasi boleh, tapi siang sahaja. Kesihatan tubuh perlu dijaga. Makan bukan kerana lapar mahupun mengikut nafsu tetapi untuk MEMELIHARA tubuh.



No comments: