Monday 21 July 2014

23 Ramadan 1435H - Selesai Sudah...





Alhamdulillah segala puji-pujian dan syukur pada Allah. Malam semalam, malam ke 23 Ramadan selesailah sudah 30juzuk. Syukur kerana sempat mengkhatamkan bacaan masih dalam bulan mulia ini. Memang sudah tanam azam sejak dari tahun saya mula-mula berhenti kerja lagi, setiap Ramadan mesti mau tadarus dan khatam. Waktu masih berkerjaya tetap sesungguhnya saya leka dan alpa. Mengaji ye tetap mengaji tapi tak pernah ada desakan untuk khatamkan segera. Bila berhenti kerja saya fikir-fikir dengan masa yang terluang dan peluang yang terbentang luas tidak wajar saya sia-sia kan. After all, di akhir hayat kita nanti, di hari kebangkitan nanti kita akan ditanya apa yang kita buat dengan usia dan masa kita?


Jauh sekali untuk mendabik dada. Sekadar catatan saya yang lemah dari segala segi, bagai orang yang baru kembali nak mendekatkan diri dengan Tuhan. Kadang saya terasa apa bezanya saya dengan seorang mualaf? Banyakkkkk... Mualaf itu asalnya dia mencari-cari Tuhan, bila bertemu dia bersungguh-sungguh belajar mengenal Tuhan. Dan saya? Sudah berpuluh tahun bersyahadah dengan kalimah tauhid. Tapi adakah saya benar-benar mengenal Tuhan? Adakah saya bersungguh-sungguh? Baca al-Quran dari kecil tapi tak pernah faham maksud. Bila dah masuk 30an ni barulah nak faham sikit-sikit.

Bertadarus di bulan Ramadan bukanlah mudah bagi saya. Saya belum pernah berjaya khatam sebelum ini. Tahun 2012 selepas berhenti kerja saya pasakkan niat dalam hati, saya mesti mulakan dan tamatkan kali ini. Terus terang cakap, untuk seorang saya yang belum pernah berjaya bertadarus tidak mudah. Tahun mula-mula semasa di awal Ramadan saya cuma mampu habiskan 5-6 muka surat saja sebelum ngantuk menggamit. Kemudian waktu zohor sambung lagi mengaji baru dapat 3 muka surat dah penat mulut. Saya fikir kalau macam ni sampai bila tak habis. 


Ramadan ada 30 hari, kalau 1 juzuk 1 hari ngam-ngam habis Ramadan baru dapat khatam. Tapi kita ni orang perempuan, ada waktu 'rehat'. Kalau dah tolak hari 'rehat' bila nak khatam? Maka kena keraskan hati, lawan rasa mengantuk (pandai pula ngantuk time mengaji mata ni kan). Tahun pertama bertadarus tu banyak ujian. Selepas 1 minggu tekak mula perit. Kering. Almaklum mengaji di siang hari tak dapat basahkan tekak. Malu saya nak cakap, tekak saya bengkak. Tu dia dugaan. Kalau menceceh yang tak tentu hala boleh je kan? Ni ujian nama dia. Tabahkan hati. Saya tak ingat hari ke berapa tapi rasanya sudah dekat sangat nak habis Ramadan baru saya khatam. Alhamdulillah, jadi satu semangat baru untuk saya. 


Dan terkesan dengan pesanan ustaz-ustaz dari tazkirah-tazkirah yang saya hadiri, "...jangan jadi hamba Ramadan" yang bermaksud jangan time bulan puasa je ko nak beribadat lebih... teruskan hingga diluar Ramadan. Juga kerana malu bila ustaz-ustaz tegur, "...Kita ni time bulan Ramadan je baca al-Quran, bulan Ramadan je bawa turun al-Quran (dari tempat tinggi), habis Ramadan berhabuk lah balik al-Quran". Dalam doa setiap solat saya tadah tangan minta pada Allah tetapkan lah saya beristiqomah dalam beribadat. Sungguh bila habis Ramadan tu kan cabarannya lebih besar.


Ramadan tahun kedua selepas berhenti kerja, tahun 2013. Saya teruskan apa yang sudah saya amalkan tahun sebelumnya. Ajaibnya, bila terus menerus sambung mengaji ni lidah kita makin lancar dan fasih. Semuanya lebih mudah dan terasa sangat familiar. Kali ini juga ada peningkatan, lebih mudah habiskan 1 1/2 juzuk sehari. Adakalanya dapat 2 juzuk. Saya kerapkan bacaan. Kadang sambil membakar kek lapis pun sempat saya mengaji. Hah merasa lah ko makan kek lapis yang dibacakan 2 juzuk al-Quran! 
Alhamdulillah, seingat saya 26 Ramadan saya selamat selesaikan bacaan.


Tahun ini saya diuji. Alhamdulillah ujian yang agak berat tetapi buat saya banyak berfikir dan lebih bersungguh-sungguh. Mengenangkan jadual saya di bulan Ramadan ini akan ada gangguan luar maka saya bertekad untuk memulakan tadarus 5 hari sebelum Ramadan. Ikutkan hati nak lebih awal lagi. tapi saya hanya mampu merancang. Allah sebaik-baik perancang. Syukur tahun ini takde sakit tekak, bengkak kerongkong, mengantuk ke apa. Semuanya smooth sailing kata orang Jerman (*_^). Sehari dapat 2 hingga 2 1/2 juzuk. Tak kira masa, bila-bila je ada waktu terluang, sambil menunggu orang pun boleh pulun. Kalau tak melopong saja apa faedahnya. Alhamdulillah 23 Ramadan lengkaplah tadarus saya. Cuma 2 hari sebelum khatam itu tiba-tiba saya rasa mulut kering dan kesat sangat hingga saya tak mampu nak habiskan 1 juzuk pun. Syukur dan lega hajat tercapai.


Allah tahu apa yang saya cita-cita kan untuk anak-anak saya. Tapi saya fikir kalau saya hanya menganyam cita-cita tapi saya sendiri tidak mengubah diri mahupun memberi dorongan atau cetusan kepada anak-anak, mampukah saya capai cita-cita itu? Sesungguhnya saya ini manusia yang banyak khilaf. Kita nak yang terbaik untuk anak tapi kita sendiri tak mau jadi cemerlang. Mendidik bukan hanya dengan cara mengajar tetapi juga dengan cara menunjukkan contoh. Saya harap saya telah memberi sedikit inspirasi buat mereka.


No comments: