Tuesday 5 August 2014

Anekdot Syawal : Umpan Sudah Mengena!



Cuti raya yang panjang, (iye surirumah pun dapat cuti raya) saya dapat merehatkan fikiran dan fizikal. Bila dah rehat minda pun kembali segar. Jadi saya lebih mudah fokus bila berbual dengan anak-anak. Faham-faham sajalah, masa bulan puasa waktu petang bila anak-anak berehat lepas balik dari kelas agama saya pula sibuk di dapur. Malam pula kita dengar tazkirah dan balik berterawih masing-masing pun dah penat. Masa untuk saya melayan mereka berbicara serta meniupkan semangat atau motivasi agak terhad.


Saya suka bila minda dan badan dah segar semula, petang-petang duduk di ruang tamu melayan Fahmi dan Yaya berbual. Entah macam mana di petang Isnin (semalam), perbualan kami terjurus ke arah puasa sunat syawal atau puasa enam (6). Ohhh... ia bermula bila Fahmi beritahu seorang teman sekelasnya yang baru berpindah masuk awal tahun ini sudah mula berpuasa. Fahmi kelihatan seperti mahukan komen saya. Alhamdulillah, walaupun mata saya sedang ligat mengadap rancangan tv kegemaran My Kitchen Rules, tapi saya bagaikan mendapat ilham untuk tiupkan motivasi baru. Takpe, mommies kan very good in multitasking? Hehehe.
Niat saya ingin menarik perhatian Fahmi kepada 'sesuatu' yang tersimpan rapi di rak buku kami di tingkat atas. Saya berharap this conversation will get us 'there'


Saya : Bagus kawan Abang tu puasa. Abang tau tak amalan berpuasa sunat tu amalan Nabi saw. Dan amalan orang-orang bijak pandai?

Fahmi diam. Peluang untuk saya masuk lagi.

Saya : ... Abang tau tak pelajar terbaik SPM tahun 2008, Nik Nur Madihah... dia dapat 20A. Salah satu amalan dia sejak di sekolah rendah adalah berpuasa sunat.


Bulat mata Fahmi. 20A!!!

Saya jelaskan lagi kepada Fahmi, kejayaan seseorang dalam hidup dan apa jua bidang sebenarnya bergantung kepada keredhaan dan rahmat Allah. Kalau kita bijak macam mana sekali pun tapi amalan kita tak pernah pun kita ingat Allah, tak pernah pun kita cari redha Allah dan tak pernah pun kita niatkan satu-satu pekerjaan kerana Allah... belum tentu kita berjaya.


Ya. Barangkali benar juga kalau anda kata kerana kemiskinan memudahkan seseorang berpuasa. Sebab dah biasa kurang makan. Berbanding orang senang macam kita, makanan sentiasa menjadi godaan melemahkan iman tambah lagi musim raya ni kan? ;-). Tapi istimewanya menjadi orang kurang berada ini memudahkan dia mendekatkan diri dengan Allah.


Akhirnya teruja dengan cerita saya tentang rahsia kejayaan Nik Nur Madihah membuatkan Fahmi tertanya-tanya mana saya tahu semua cerita ni. Tu diaaaaa.... umpan sudah mengena. Dan tanpa bersembunyi lagi saya katakan, saya tahu kerana saya sudah baca buku rahsia kejayaan Nik Nur Madihah. Cerah biji mata Fahmi.


Fahmi : Mana buku tu? Ada ke?


Sekejap.
Kadang saya macam tak percaya mudah nak memancing minat dia. Kadang saya rasa ruginya entah berapa banyak peluang yang saya terlepas semata-mata kerana sibuk dengan hal lain. Dan waktu-waktu beginilah saya rasa betapa bersyukurnya saya kerana Allah menggerakkan hati saya untuk berhenti kerja dan didik anak sendiri. Kalaulah saya masih berkerja dah tentu saya tak punya masa untuk terap ilmu pada anak, apatah lagi ke dalam diri saya sendiri.

Saya : Ada. Ada kat atas.

Fahmi : Bagi sini Abang nak baca.

Giliran saya pula terpesona dengan permintaan dia. Sungguh umpan sudah mengena!

Saya: Abang nak baca???

Fahmi angguk.

Saya : Ok kejap mama ambil. Abang bacalah, buku dia tak tebal pun. Ada gambar lagi. Mesti Abang suka. Mama harap banyak inspirasi yang Abang dapat dari buku ni.


Dan saya tak perlu tunggu lama. Sebaik buku bertukar tangan dia terus mula membaca.
Dan saya tak perlu tunggu lama untuk lihat kesan dari membaca buku itu.
Kerana selepas dia sampai ke bab 2, terus Fahmi menghampiri saya di dapur dan berkata,

"Mama, esok Abang nak puasa sunat enam lah..."


Saya rasa darah pantas menyerbu naik ke muka.
Ok. This is very unexpected.


Niat saya mahu dia meminjam sedikit inspirasi daripada kejayaan Nik Nur Madihah. Niat saya mahu dia lebih bersemangat memburu kejayaan. Kalau seorang gadis dari keluarga kurang berkemampuan boleh melakukannya, saya mahu Fahmi fikir dia punya segala kemampuan untuk meraih kejayaan yang sama.
Saya tidak menjangkakan Fahmi akan mahu berpuasa enam.
Saya hanya mampu berkata "Terima kasih ya Allah" di dalam hati.



No comments: