Friday 16 January 2015

Nasi Ulam Berlauk


Kalau sebut Nasi Ulam, memang beginilah rupa nasi ulam yang kami bayangkan. Sebab itu masa bercuti ke Kota Bharu tempohari kami kecewa kerana nasi ulam tersohor bersebelahan Kompleks Kraftangan nya adalah nasi putih yang dimakan dengan pelbagai pilihan ulam-ulaman dan pencicah. Oh... kalau yang itu banyak boleh didapati di KL/Selangor saja. 





Nasi Ulam kata orang sangat terkenal di Utara. Ada juga versi Nasi Ulam peranakan (nyonya). Saya tak kisah versi apapun, yang penting mesti mau mewah dengan ulam-ulamannya dan diperisakan dengan baik sebab nasi ulam ni jenis makan begitu saja takde kuah.




Nasi Ulam versi saya:

6 cawan nasi putih suam sejuk (saya guna beras basmathi letak daun pandan kasi wangi)
1/2 cawan udang kering (sangai dan tumbuk halus)
3 ekor ikan kembung (bakar dan tumbuk dengan kelapa parut goreng)
1 1/2 cawan kelapa parut - goreng keperangan
1 sudu teh lada hitam - sangai dan tumbuk halus
3 biji limau kasturi (perah jus nya)
1 sudu besar sos ikan
garam dan gula secukup rasa

*Gaul kesemua 4 bahan diatas

Bahan-bahan Ulam (semuanya dihiris)

1 1/2 inci kunyit hidup
6 ulas bawang merah
2 batang serai
1 tangkai bunga kantan
3 helai daun kaduk
3 helai daun limau purut
1 tangkai daun kunyit
1 genggam daun pudina
1 genggam daun kesum
1 genggam daun selasih (saya tak guna sebab takde)
1 genggam daun selom

*ulam-ulaman boleh tambah daun pegaga kalau suka


Penyediaan:

1. Nasi putih suam digaul dengan bahan-bahan kerisik serta perahan jus limau kasturi. Rasakan garam dan gulanya juga.
2. Gaulkan bahan-bahan ulam dengan nasi. Tambah sos ikan. Boleh tambah garam jika perlu.
Sedia untuk dihidang.









Saya hidang nasi ulam dengan ikan kembung goreng dan udang goreng kunyit dan cili kisar. Kalau suka boleh letak sambal belacan atau budu. Saya tak galakkan penggunaan daun kaduk melebihi 3 helai sebab ianya bersifat panas dan dalam kuantiti yang berlebihan boleh mengganggu rasa keseluruhan hidangan. Daun limau purut juga pilih yang berwarna hijau cerah yang tidak terlalu pucuk ataupun terlalu tua. Kalau daun sudah keras atau berwarna hijau gelap itu dah tua benar. Rasanya juga agak bitter. Kalau tak suka guna lada hitam boleh ganti dengan cili api hiris halus. Saya prefer lada hitam sebab rasa pedasnya yang agak subtle, tidak menyengat tetapi tau-tau je lepas makan badam rasa suam-suam gitu. Lagipun saya makan dengan anak-anak memang hidangan mesti bersifat kid's friendly ;-).


Saya sangat suka hidangan sebegini. Terasa segar dimulut bila mengunyahnya. Dan tambah segar lagi untuk tubuh badan kerana setiap satu ulaman ini mempunyai khasiat tersendiri untuk tubuh. Kunyit misalnya membantu meningkatkan ketahanan tubuh, mengandungi antioksidan dan mampu merawat kanser selain menaikkan seri wajah. Jadi apa lagi? Moh le kita pakat makan ulam saja sampai kambin pun tak tau nak makan apa ;-).

No comments: