Sunday, 4 August 2013

26 Ramadhan 1434H - Mee Rebus Ekor Lembu



Dah 3-4 hari terfikir nak buat mee rebus tapi belum ter buat-buat lagi sebab sibuk hal lain. Tak buat rasa ralat pula. Mee kuning Mariam berbaki sepeket lagi dalam fridge. Nak digoreng rasa bosan. Nak dibiarkan dah hujung Ramadhan sangat ni, sayang terbuang begitu saja sebab entah esok lusa dah nak kena kosongkan fridge sebab tuan rumah pun nak bercuti Raya. Tapi nak dibuat mee rebusnya rasa sepeket mee macam tak cukup, nak balas juadah yang jiran-jiran bagi tempohari.

Cakap pasal berbalas juadah berbuka ni, saya kira memang kebiasaan orang Melayu kita. Masa kecil dulu saya duduk kat kuarters polis memang meriah bab berbalas juadah ni. Hampir tiap hari ada je juadah yang jiran beri. Kita orang Melayu tinggi budi bahasa, orang memberi kita merasa, dah merasa mesti ada balasannya tanda terima kasih. Tapi seingat saya sejak duduk sini belum pernah lagi saya merasa berbalas juadah. Mungkin sebab kedudukan rumah saya yang jauh sikit dengan jiran-jiran Muslim yang lain. Jiran depan rumah (Wong) bukan Muslim. Jiran sebelah dan dua buah rumah seterusnya juga bukan Muslim. Harap jiran Muslim yang paling dekat dengan kami iaitu Diana yang rumahnya sebelah dengan rumah Wong. Sebelah Diana pulak budak-budak bujang yang belajar kat UiTM tu. Pasal tu kami lebih akrab dengan keluarga Diana sebab merekalah paling dekat. Hujung baris rumah saya agaknya lebih meriah berbalas juadah sebab majoritinya orang kita.

Tapi Ramadhan kali ini lain pula senarionya. Sudah dua kali saya terima juadah dari keluarga Diana. Dan baru-baru ini Yaya bawa balik rendang ayam hasil air tangan nenek Adeena, classmate Yaya yang duduk sama baris dengan rumah kami tapi rumahnya agak towards the end of the row. Saya rasa seronok pula sebab terasa pemebrian juadah itu umpama huluran salam penyambung silaturrahim. 

Jadi malam tadi saya sudah congak-congak barang nak dibeli. Kalau selalu buat mee rebus guna air rebusan tulang tapi kali ini tak perlu sebab rebusan ekor lembu dan tulang masih ada berbaki dalam peti beku. Cuma saya agak pening sikit fikir mana nak cari mee Muslim. Saya punya cuma berbaki 1 peket saja. Tak cukup. Alang-alang buat teringin juga nak bagi dekat Daniel dan Wong. Tempohari isteri Daniel bagi secekak serai pun tak berbalas lagi. Bertuahnya aku! Akhirnya saya lelapkan mata dengan rasa sebal dalam hati sebab terpaksalah guna mee kuning biasa je huhu.

Nak jadi cerita sebelum ambil anak-anak balik dari sekolah ganti (sebab cuti jerubu tempohari) saya singgah beli barang kat kedai Acheh. Beli tauhu, taugeh, udang kering dan taucu semua... last sekali pergi rak mee. Hati sebal sebab rasa takde pilihan. Sampai je kat rak tau apa saya nampak?


Nah, tu dia... apa yang saya sebut dalam hati Allah beri.



Tak pernah-pernah lah kan depa nak jual mee keluaran Muslim. Dulu kedai runcit mamak tu jual sekejap tapi bila ada orang komplen kata kuat sangat rasa asid borik nya terus stop. Tiba-tiba selepas 5 hari saya tak jejak kedai Acheh ni hari ni mai ada pulak jual mee Muslim. Saya pun rembatlah 2 peket terus. Lepas tu singgah kedai runcit mamak tu sebab cari keledek tak jumpa lagi. Eh... tup tup saya tengok dalam bakul kat kedai mamak tu ada pulak jual mee kuning khas untuk vegetarian! Kalau ikut pemahaman saya produk vegetarian ni takde lah letak bahan-bahan dari sumber haiwan kan. Contoh telur depa tak bubuh lah pastu minyak haiwan tak bubuh kan? Pemahaman saya lah. Hambik nak sangat mee yang halal terus banyak pulak option.


Saya kata apa? Tak terkata apa. Speechless sangat. Bulan posa ni kan pintu langit terbuka. Nasib niat tu baik Dia permudahkan. Ehhh perasan baik ye? ;-) . Syukur Alhamdulillah je yang mampu diucapkan. Nikmat Tuhan yang mana lagi yang mahu kamu nafikan? Saya tepuk dada saya sendiri. 



Saturday, 3 August 2013

25 Ramadhan 1434H - Dari Allah Kita Datang, KepadaNya Kita Kembali

Subhanallah... Maha Suci Allah, Dia yang memiliki Kebesaran dan Keagungan,
Dia yang Maha Besar, Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui

Bila kita bangun untuk bersahur pagi ini, pernah ke kita menjangka itulah makanan terakhir yang masuk ke perut kita, yang mana sahur kita itu tadi TIADA berbuka nya?
Yang kita akan terus BERPUASA untuk selama-lamanya?

Bila kita menghantar suami/isteri atau anak pergi kerja/sekolah pagi tadi bolehkah kita menjangka tidak akan bertemu mereka di meja bersama-sama menghadap iftar Maghrib nanti?

Atau waktu kita awal-awal tempohari mengucapkan syukur kerana dipanjangkan usia bertemu Ramadhan sekali lagi, mampukah kita menjangka bahawa kita MUNGKIN dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadhan sahaja tetapi TIDAK AKAN bertemu Syawal?

Kita bukan siapa-siapa, tiada kebolehan dan kemampuan untuk menjangka kedatangan sakratulmaut kita.
Apatah lagi kalau pemergian itu bukan kerana sakit berpanjangan. Sukar untuk kita menebak apatah lagi bersedia bila mendengar berita pemergian orang-orang di sekeliling kita.
Kerana itu adalah lumrah bagi kita merasa terkejut.
Sebagaimana kami dikejutkan dengan berita pemergian seorang sahabat dan jiran akibat kemalangan sebelum waktu berbuka semalam. Berita pemergian beliau diwar-warkan di laman facebook surau Raudhotul Firdaus (tempat kami). Screenshotnya di whatsapp ke handphone Mr Hubby. Reaksi? Ada yang menafikan berita tersebut sebagai tidak benar. Ada yang kata cuma kemalangan saja. Reda sebentar rasa terkejut dalam hati. Tapi cuak juga, tak mungkin admin surau berani keluarkan berita yang belum sahih?

Tuan punya badan yang dimaksudkan muda sekurang-kurangnya 2-3 tahun dari saya. Bayangkan saya ni muda lagi (sempat perasan lagi tu), jadi dia lagi lah muda. Pengamatan saya terhadap dia yang saya kenali awalnya cuma di laman forum penduduk, dia agak lucu orangnya. Antara orang yang awal saya dan mr hubby kenali atas nama saja sebelum kami berpindah ke sini. Dulu dia sahabat geng basikal mr hubby, Saya ingat lagi dulu-dulu masa dia baru berjinak-jinak mengayuh basikal (mountain bike) petang-petang hujung minggu kami sering terserempak dia berkayuh seorang diri. Katanya persiapkan stamina sebelum join geng basikal sebab segan kalau mengayuh tertinggal di belakang. Gigih dia berkayuh seorang diri. Mr Hubby pun banyak bagi dia tips jenis basikal yang sesuai untuk MTB. Anak sulungnya sempat ke tadika yang sama dengan Yaya tetapi 2 years her junior lah. 

Kerapkali bila saya luangkan masa yang lama di dapur, saya pasti teringatkan apa yang pernah dituliskannya dalam forum - beliau letak sebiji tv di dapur sebagai peneman isterinya memasak, takdelah boring sangat. In fact seminggu dua ini perkara itulah yang kerap terngiang-ngiang dalam kepala saya. Sudah agak lama juga beliau tak join geng basikal lagi dah. Baru saya tahu minat sudah beralih kepada motorsikal berkuasa tinggi.

Jadi, lepas solat terawih tadi bila pengerusi surau mengesahkan kematian beliau, saya rasa sebak dan sedih sangat. Terbayang-bayangkan wajah anak sulungnya yang comel tu memakai kostum harimau masa persembahan akhir tahun tadika. Terbayang-bayangkan wajah isteri arwah yang beberapa kali terserempak makan di restoran yang sama. Terkenangkan perginya beliau tanpa sempat berbuka dengan keluarga. Cerita yang saya dengar dari mr hubby, arwah dan geng motorsikalnya berhenti sebentar di tepi highway dalam perjalanan nak berbuka puasa di Bagan Lalang. Berhenti tu pun sebab tunggu geng lain yang tertinggal di belakang. Datang sebiji kereta toyota wish yang dipandu seorang wanita dipercayai dalam keadaan mengantuk (balik kerja) terbabas lalu menghentam arwah dan seorang kawannya. Arwah mengalami kecederaan teruk pada tulang belakang dan tulang rusuknya patah menusuk jantung. Kawannya cedera parah juga. Pemandu wanita tidak cedera tetapi a disturbing story yang saya dengar pemandunya keluar dari kereta sambil tertawa? Saya mahu berbaik sangka, dia barangkali terlalu terkejut dengan kejadian itu, macam-macam reaksi pelik boleh berlaku.

Saya tengok anak-anak sendiri. Rasa insaf. Kita tak tahu bila nyawa kita pula diambil. Entah kan sempat entah kan tidak melihat mereka membesar dan faham tujuan hidup kita ni. Sudahnya saya pula yang tak boleh tidur, terbawa-bawa sangat dengan rasa sedih ni. Saya ambil kesempatan berpesan kepada Fahmi, andai saya pergi nanti saya mahukan anak-anak saya memandikan jenazah saya. Tolong ingatkan adiknya bila sampai masa itu nanti. Dan walau saya sedar ajal dan maut bukan hak saya, tetapi dalam hati saya berharap dia dan adiknya cukup besar untuk melaksanakan amanah itu nanti.

AlFatihah untuk arwah Mohd Helmi.


Anak-anak ini terlalu kecil untuk bersedih dengan berita pemergian sahabat tadi.
Mereka seronok beratur ambil duit raya sumbangan surau tempat saya. Ini acara tahunan yang paling ditunggu-tunggu kanak-kanak. Setiap malam bulam Ramadhan memang hingar bingar dengan gelagat kanak-kanak. Tetapi malam pengagihan duit raya selalunya lebih gamat lagi umpama market bila acara kemuncak tiba. Selalunya kutipan sumbangan penduduk untuk aktiviti surau di bulan Ramadhan akan ada lebihan. Lebihan tersebut digunakan untuk tampung belanja utiliti dan aktiviti bulan-bulan seterusnya dan sebahagian kecil disumbangkan kembali kepada anak-anak kecil ini. Moga anak-anak ini berjaya di dunia dan akhirat. 

Thursday, 1 August 2013

23 Ramadhan 1434H - Chicken Cordon Bleu


Minggu ini tak kerap ke pasar. Minggu lepas ada beli ayam tak luak pun lagi. Jadi menu iftar this week semuanya akan berasaskan ayam jelah. Malas nak beli ikan sebab saya dah tak tau nak diapakan ikan tu. Lagi satu takut terperap je dalam fridge sudahnya sebab minggu depan dah minggu akhir puasa. Malas nak simpan stok lauk pauk, kasi clear fridge tu.

Since chicken chop belum pecah masuk senarai menu iftar lagi, kita bagi laluan kat dia lah. Kalau buat chicken chop saya beli deboned peha ayam for hubby sebab dia sangat particular bahagian ayam yang dimakannya. While for myself and the rest saya lebih suka beli boneless chicken breast saja. Bebas lemak ;-). Dalam kepingan dada ayam tu saya cilok sekeping, butterflied, sumbat cheese dah sekeping beef streaky kemudian gulung menjadi Chicken Cordon Bleu. Main panggang je dalam oven. Less oily. Konon menu sihat lah tu.




Ada belahan pada dada ayam yang saya butterflied, jadi cheese mencair mengalir keluar. Bila dipotong dah tak nampak cheese ye. Malas nak buat parmesan cheese sauce to go eith the chicken saya makan dengan mushroom sauce saja. Lagipun stok grated parmesan dah habis sebenarnya!!!


Wednesday, 31 July 2013

22 Ramadhan 1434H - Cari Apa Tuuu? ... (*_^)



Saya perasan sejak dua menjak seminggu dua ini saya menjejak kesan tapak kaki pengunjung dari serata Malaysia dan luar negara yang singgah di blog hidup segan mati tak mahu saya ini. Dan saya dapati tajuk entry yang menjadi terjahan paling tinggi untuk tahap blogger suam-suam kuku ini (toksah lah compare dgn blog popular lain) adalah "Lapis Melapis - Kek Lapis Cadbury"


Ini screenshot hari ini. Semalam, kelmarin dan minggu lepas tak saya ambil tapi tiap hari memang paling kerap orang search untuk tajuk entry yang ini lah. Lain-lain tu tak sekerap tajuk kek lapis cadbury.

Saya kira bila sudah semakin penghujung Ramadhan ini ramai yang berkira-kira nak buat kek untuk raya barangkali. Itu yang tajuk kek lapis paling popular setakat ini. Saya cuma nak clarify, kalau anda mencari kek lapis untuk dibeli, di sini saya tidak menjual. Memang setiap tahun saya buat, tapi untuk makan sendiri dan agih kepada saudara mara saja. Dan saya buat cuma beberapa jenis saja iaitu top favourite dalam keluarga adalah kek Lapis Cadbury yang kaya dengan coklat cadbury nips nya, kek lapis masam manis dan kek lapis prune sahaja. Lain-lain saya wajib buat ialah kek buah kukus favourite abah saya dan kek kukus prune. Kalaupun ada yang buat special request baru saya buat kek lapis Cadbury tu. Kenapa saya tak buka tempahan? Sebelum apa-apa saya minta maaf dulu harap tidak terguris dengan kata-kata saya. Saya tak buka tempahan untuk kek lapis Cadbury ni sebab saya buat kek lapis jenis premium, yang setiap lapisannya sarat dengan coklat Cadbury nips. Ada 10 lapisan kek yang mana 8 daripadanya dipenuhi Cadbury nips. Setiap lapis ada 30 Cadbury nips jadi kalau 8 lapis bermakna untuk 1 biji kek Lapis Cadbury ini saya gunakan sekurang-kurangnya 240 biji coklat Cadbury nips. Anda boleh rujuk tajuk entry yang saya sebutkan di atas dan lihat sendiri gambarnya. Untuk yang biasa beli kek lapis Cadbury di pasaran anda tentu tahu kek lapis cadbury lain biasanya cuma beberapa puluh ketul saja coklat di dalamnya. Jadi adatlah kalau harga kek lapis Cadbury saya tak sama dengan pasaran. Tambahan saya buat secara homemade. 

Kenapa banyak sangat guna coklat? Jawapan mudah. Sebab saya suka ;-). Begini... kek lapis Cadbury pertama yang saya makan adalah hasil air tangan isteri seorang kawan yang kedua-dua mereka asal dari Sarawak. Kek beliau sangat sedap dan sangat kaya dengan coklat. Harganya memang sedap juga. Tapi berbaloi dengan kualiti yang diberikan. Jadi, saya memilih untuk menjual kek yang terbaik dari segi kualiti sahaja sebagaimana saya pernah makan dulu. Walaupun saya sedar tidak ramai yang akan membelinya. Atas kesedaran itu saya tidak membuka tempahan untuk kek Lapis Cadbury saya. Hanya dengan special request sahaja saya akan buat. Sebab nak buat kek lapis ni penat dan makan masa lama. 

Dan jika anda tekan tajuk entry di atas dengan harapan ada resipi, saya minta maaf kalau anda pulang dengan kekecewaan. Sebab seingat saya, tak pernah saya letakkan resipinya. Tetapi resipi kek lapis cadbury mudah didapati... cuma google saja. Saya combine beberapa resipi dan saya suai padankan dengan selera saya serta saya suai padankan method membakarnya. Inshaa Allah kalau ada kelapangan saya publish nanti. Dan tentunya kredit harus diberikan kepada tuan punya resipi asal. ;-)

Tuesday, 30 July 2013

21 Ramadhan 1434H - Puyuh Goreng Berlada



Sudah masuk 10 hari terakhir Ramadhan. Alhamdulillah masih diberi kesempatan ini. Saat-saat inilah yang paling ditunggu-tunggu bagi orang yang berpuasa. Bila masanya ramai yang memilih untuk beriktikaf di masjid dan surau-surau. Menghidupkan malam hari dengan qiamullail. 

Saya berusaha menghabiskan tadarus. Sendirian saja di rumah. Saya akui terlewat mengamalkan tadarus di bulan ramadhan. Hanya bermula tahun lepas. Masa remaja dulu ada juga buat tapi tak pernah habis. Sebab teknik tak betul dan tiada istiqamah. Seingat saya tahun lepas masa saya mulakan tadarus terasa payah juga. Bukan payah sebab apa tapi dugaan, tekak mudah kering. Maklumlah, hari-hari biasa mengaji cuma sehelai dua mukasurat. Tapi bila bertadarus sehari kita cuba habiskan 1 juzuk terus terasa mencabar bagi orang baru. Saya berpegang kepada pesanan ustaz untuk istiqamah setiap amalan yang dimulakan di bulan ramadhan hingga diluar bulan mulia ini. Supaya kita tidak menjadi hamba ramadhan. Alhamdulillah, pepatah Melayu menyebut "Alah bisa, tegal biasa". Benda yang selalu kita amalkan akan jadi mudah. Dan begitulah yang saya rasakan. Lebih mudah dan semakin mudah. Subhanallah...




Rezeki iftar hari ini, burung puyuh goreng berlada. Mr Hubby kirim kat kawan dia belikan burung puyuh yang siap dibersihkan, 10 ekor 1 beg RM25 kalau tak silap. Saya cuma perap dengan rempah ketumbar, jintan, serai dan kunyit kemudian goreng garing. Curah dengan sambal lada gaya minang. Cik Yaya kegelian nak makan sebab kecil sangat kata dia. Dia kan suka makan ayam bahagian kepak. Jadi bila dia tengok kepak burung puyuh ni kecil cinonet aja dia tak sampai hati nak makan. Memang dia tak jamah lah.Orang kata kalau kita kesian tak usah makan. Samalah macam saya dulu pernah tengok orang sembelih lembu depan rumah arwah atuk. Sedihnya tengok lembu tu terkelip-kelip mata dia siap ada pasangannya datang tengok dia. Terus saya jatuh kesian. Langsung saya tak makan!!!

Monday, 29 July 2013

20 Ramadhan 1434H - Kulihat Hijau...

Perasan tak banyak kuih tradisi kita berwarna hijau?

Kuih serimuka, tepung pelita, tepung boko, kuih tako, talam pandan, kuih bakar, bubur som-som, kuih ketayap. onde-onde atau buah melaka. Kalau orang buat kuih puteri ayu pun mesti warna hijau! Kuih puteri mandi dan akhir sekali kuih cara manis. Semuanya hijau!



Saya rasa salah satu sebabnya zaman dahulu mana ada pewarna tiruan yang umpama pelangi LUNA atau faber castel 24 warna! Warna-warna dalam masakan diambil dari tumbuhan semualajadi terutamanya daun pandan. Sebab itu banyak kuih tradisi warna hijau. Tapi sesungguhnya lah hijau itu terapi mata! (*_^)


Kuih cara manis ni wajib ada dalam iftar setiap tahun. kalau tak buat mesti beli walau sekali. Tapi kalau nak mengelak dari buat memang tak patut sungguhlah sebab senang sangat nak membuatnya. Pejam mata pun siap. Yang penting ekna ada kan acuannya dulu. Dulu-dulu payah nak cari acuan dia tapi sekarang pergi je kedai barang buat kek confirm ada!


Bahan-bahan

100gm tepung gandum
200ml santan
1 biji telur
secubit garam
beberapa titis pewarna hijau
gula secukupnya

*kalau guna air daun pandan boleh kurangkan santan kepada 100ml dan 100ml air daun pandan.


Gaul semua bahan kecuali gula hingga tak berbintil. Panaskan acuan atas dapur. Bila dah panas lengser denga minyak sedikit. Perlahankan api. Tuangkan adunan 3/4 penuh. Cepat-cepat letak 1 sudu kecil gula. Gula akan tenggelam sendiri ke dasar kuih. Kalau tidak boleh top up sikit adunan kuih untuk tutup lubang gula. Saya kalau nak bagi cepat masak saya ambil tutup periuk dan tutup acuan. Bergantung kepada besar kecilnya api, kuih akan masak dalam 5 minit gitu kalau api kecil. Bila dah masak boleh cungkil dengan lidi sate dia mudah lekang. kalau tak lekang means belum masak.

Sunday, 28 July 2013

19 Ramadhan 1434H - Ke Makam Bonda

Ke Makam Bonda ~ Usman Awang


Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tegak berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat
Mesra kasih bonda menatap
Sedang lena dalam rahap
Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan
Tiada lagi lalang memanjang
Ada doa kami pohonkan 
Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja menghantar kami
Meninggalkan makam sepi sendiri
Damailah bonda dalam pengabdian
Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami semaikan
Tiada sama bonda melahirkan
Kasih bonda tiada sempadan
Kemuncak murni kemuliaan insan




Satu sajak karya sasterawan negara yang cukup popular dikalangan pelajar-pelajar sastera mahupun penggemar karya sastera. Sajak yang ada dalam teks sastera saya dulu. Inilah sajak yang saya cukup hafal suatu masa dulu kerana inilah sajaknya yang pernah saya deklamasikan dan menang pula dalam pertandingan tersebut. Zaman sekolah dulu cukup minat dengan deklamasi sajak, tulis sajak, berbalas pantun bagai ni kan (*_^). Tersangatlah jiwangnya saya ni! Dulu-dulu rajinlah tulis puisi sesaja suka-suka layan jiwang, kadang sebab kena masuk pertanding menulis puisi. Tapi kalau suruh deklamasi sajak saya lebih suka pilih puisi yang bernada keras (strong) sedikit, ala-ala perjuangan sebab saya suka nada yang dramatik.


Ok dah melalut! Kalau dilayan kelaut jadinya.
Balik kampung hubby semalam dan pagi ni kami ziarah pusara arwah mak (mil saya). Tu yang serta merta saya teringatkan puisi Usman Awang, Ke Makam Bonda tu. Cuma bezanya pusara mak tak naik lalang. Elok terjaga. Batu nisan sudah naik, cuma nak kena betulkan sebab tukang buat nisan tersilap tulis tarikh meninggal. Dari cerita kakak ipar ada seorang anak kampung ni yang rajin tolong bersihkan pusara mak setiap kali dia ziarah pusara saudara dia. Masa kami ke sana pun bila dah nak balik terserempak dengan dia tapi dari jauh saja. Moga Allah merahmatinya. 


Saya teringat kata-kata seorang ustaz, dalam kita mengejar dan mendambakan rahmat Allah yang seringkali kita tidak sedar ialah amalan-amalan kecil  yang dibuat secara ikhlas adalah perkara yang mendatangkan rahmat Allah. Dan dalam banyak keadaan kerana amalan-amalan kecil lah yang sering membawa seseorang itu ke syurga. Wallahu'alam.


My pak mertua sekarang dijaga oleh kakak ipar yang dulunya tinggal seorang di Cheras sekarang balik duduk di kampung. Dulu memang pak mertua tinggal berdua dengan arwah mak. Sekarang berdua juga dengan kakak. Dulu sunyi. Sekarang lagi sunyi. Kurang-kurang dulu bila kami balik riuh jugalah dengan suara mak bercerita. Dapur mesti berkecah. Tapi sekarang takdelah nak bebankan kakak ke dapur, dia pun sibuk menjahit. Saya cuma nak cakap, suasananya berbeza. Orang kata ibu ratu hati. Tapi pada saya seorang ibu itu, umpama cahaya dalam rumah. Betapa pentingnya seorang ibu dalam sesebuah rumahtangga hinggakan ada istilah 'ibu rumah' yang merujuk kepada bahagian utama (induk) rumah tradisional Melayu.



My girl aja yang nak ikut ke pusara. Tu yang sibuk memetik bunga. Habis bunga melur cina yang tumbuh melata dikutip. Bunga kertas arwah mak pun dia balun. Bunga raya dan akhir sekali bunga daisy yang arwah mak tanam atas flower bed di luar dapur. Nenek memang suka tanam bunga. Kalau arwah nenek masih ada jangan haraplah kamu nak usik bunga ni ye!


Si Abang nak duduk rumah, maklumlah sepupu dia Abang Syukri ada jadi seronok bermain. Jumpa jarang sekali. Yang sesekali itulah jadi melekat sungguh tak berenggan sampaikan tidur pun mau sekatil atau setilam. Mereka tidur berdua dalam satu bilik asing. Bila tidur kaki montok Abang Syukri naik panggung atas Fahmi. Yang si Yaya sebab dia perempuan tak dapat join sekaki. tapi lepas sahur dia bantai menyelit in between. Bukan tidur pun, tengok si abang berdua main game PSP.